Vaginismus – Ketakutan Yang Boleh Dirawat
“Gel ni bagus daripada gel air hari tu, sangat membantu katanya. Kita doakan perkembangan semakin positif ya Dr.”
Ya, begitulah niat dan doaku. Semoga wanita ini sembuh daripada ketakutan dan kerisauan yang sudah membelenggu dirinya sejak sekian lama.
Tiba masanya untuk dia menikmati hidup berumahtangga dan bercahaya mata dengan izin-Nya.
…
“Puan, silakan duduk.”
Aku mengemaskan duduk di kerusiku dan memalingkan muka menghadap pasangan suami isteri yang baru masuk.
Wanita ini menunduk dan sesekali memandang jauh ke hadapan. Aku lihat dia ingin mengeluarkan kata-kata namun sedikit tersekat.
Nampaknya belenggu suram ini mesti aku urai.
“Boleh Puan beritahu apa yang membawa Puan ke mari?”
Soalan pembuka yang aku kira mampu memecah suasana. Surat rujukan aku belek, ‘primary infertility’.
“Sebenarnya doktor, kami masih belum sempurna bersama sejak berkahwin 3 tahun yang lalu. Saya tak dapat teruskan hubungan seksual, rasa sangat sakit dan kejang tidak semena-mena. Apa yang perlu saya buat?”
Aku memandang mereka, silih berganti.
Kepada si isteri, yang suram wajahnya. Kepada si suami, yang penuh pengharapan. Pujian harus diberikan kepada mereka kerana ingin mencari jalan bagaimana mengatasi masalah ini bersama.
…
Sebenarnya, untuk kali ini, sukar sedikit nak tulis gambaran sebenar masa konsultasi tersebut. Tapi saya terus bagitahu sahajalah masalah apa yang dihadapi pasangan terbabitlah ye!
VAGINISMUS
Rasa taboo masih merajai masyarakat kita apabila berbicara mengenai masalah ini.
Tujuanku menulis artikel pendek ini kerana ingin mengetengahkan sedikit isu ini, isu yang mungkin ramai sebenarnya hadapi tetapi takut untuk berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan.
Kesannya bukan sahaja kepada isteri, malah suami dan rumahtangga juga.
Apa itu vaginismus?
Situasi di mana faraj berasa ketat secara tiba-tiba apabila ada cubaan melakukan ‘penetrasi’. Ia boleh menyakitkan dan mengganggu emosi seorang wanita. Namun, ia boleh dirawat sebenarnya.
Satu tindakbalas automatik badan. Di luar kawalan.
Di klinik, jika pesakit datang dengan masalah ini, doktor akan mengambil sejarah kesihatan secara menyeluruh, dan khusus kepada sejarah hubungan seksual/gejala yang berlaku dan sebagainya. Pemeriksaan juga akan dilakukan.
Tertanya apakah sebab vaginismus ini berlaku?
1.Dimomokkan dengan rasa sakit apabila berlaku ‘penetrasi’ pertama. Ini memang situasi sebenar berlaku kepada pesakit. Mengganggu emosi, maka kerelaan untuk ‘penetrasi’ tidak berlaku.
2.Rasa takut kerana merasakan ruang faraj kecil untuk ‘penetrasi’.
3.Trauma akibat pernah dirogol atau pernah berlaku ‘penetrasi’ sebelum ini dalam keadaan terpaksa dan kesakitan.
4.Trauma akibat pemeriksaan kesihatan yang tidak selesa dan mungkin menyakitkan secara fizikal atau emosi.
5.Kepercayaan bahawa hubungan seksual adalah satu perbuatan yang memalukan atau salah/tidak diterima.
6.Jangkitan kuman/kulat seperti kulat ‘candida’.
Jika sebabnya jangkitan, ada ubatnya untuk merawat.
Jika penyebab lain yang menjadi punca, penglibatan aktif doktor sakit puan bidang ‘urogynaecology’, ahli psikologi atau ahli terapi psikoseksual sangat membantu.
Dalam kes pasangan di atas, kami tunjukkan penggunaan alat ‘Hegar dilator’ bagi tujuan memulakan proses membiasakan pembukaan ruang.
Rujukan kepada ahli psikologi sangat membantu.
Fokus kepada terapi psikoseksual yang meliputi terapi memahami perubahan kepada emosi, badan dan hubungan seksual.
Bercakap mengenai teknik ‘relaxation’ dan kesedaran, mengawal pernafasan dan sentuhan bagi membiasakan otot faraj agar tidak mengeras.
Latihan latihan pelvis juga boleh dilakukan.
Bagi kes ini, sesi kaunseling sangat membantu.
Kata kuncinya, bersabar dan berusaha. Sokongan pasangan juga sangat membantu dalam usaha ini.
…
“Gel ni bagus daripada gel air hari tu, sangat membantu katanya. Kita doakan perkembangan semakin positif ya Dr. Setakat yang dimaklumkan Puan Ina, penetrasi penuh telah berjaya dilakukan. Syukur.”
“Oh ya, menarik ini. Satu pilihan kepada pasangan yang mengalami masalah vaginismus.”
Ahli psikologi kami telah melakukan beberapa sesi kaunseling kepada pasangan. Berita baik yang diterima menari-nari lembut di halwa telinga. Masih teringat wajah tiada kata wanita itu di klinik suatu ketika dahulu.
Semoga wanita ini sembuh daripada ketakutan dan kerisauan yang sudah membelenggu dirinya sejak sekian lama.
Tiba masanya untuk dia menikmati hidup berumahtangga dan bercahaya mata dengan izin-Nya.
Dapatkan kumpulan perkongsian cerita menarik berkaitan bidang kesihatan wanita di aimirahayu.com.
Nota : Kisah-kisah benar diolah dan diselit mesej yang sahih.
Follow | Like | Comment | Share untuk perkongsian dan cerita yang memberiTAHU dan memberi ILMU untuk kesihatan semua.
Media sosial :
FB : facebook.com/aimirahayuAR
Twitter : twitter.com/aimirahayuAR
Youtube : youtube.com/aimirahayuabdulrashid
Instagram : instagram.com/aimirahayuAR
FB Page : facebook.com/doktorbidan
Telegram : t.me/doktorbidan