skip to Main Content
Tiga Persediaan Penting Sebelum Hamil

Tiga Persediaan Penting Sebelum Hamil

Hari ini giliran nasihat yang mudah. Cerita kita simpan dahulu. Hehe.

3 Persediaan Penting Sebelum Hamil

Ibarat ladang yang perlu dijaga, disiram dengan air dan baja, begitulah juga wanita yang sedang berusaha untuk hamil atau ‘trying to conceive’ (TTC).

Perlu ada ‘setting’ yang baik agar tanaman yang diharapkan akan tumbuh dengan subur.

Perlukan tapak yang gembur dan subur, air yang cukup serta cahaya matahari yang menyinari.

Untuk hamil pula ‘setting’ yang bagaimana?

Persediaan penting untuk hamil ini perlu ditekankan. Ramai masih keliru apabila ditanya mengenainya.

Kebiasaannya, persediaan bakal ibu banyak berkisar persiapan menyambut bayi. Baju, barut, minyak telon, ‘diapers’. Tetapi si ibu mungkin tidak optima persediaan dirinya sendiri untuk hamil.

Merancang kehamilan bukan bermaksud bila nak baby lahit, dengan merancang bila untuk hamil, sebaliknya menyediakan diri bakal ibu untuk hamil.

Persediaan penting sebelum hamil daripada segi apa?

3 tips ini penting untuk bakal ibu tahu.

1.Dapatkan berat badan unggul atau BMI ideal.

Masalah obesiti adalah masalah epidemik masa kini. Kesannya komplikasi kepada ibu dan bayi.

Wanita boleh sukar nak hamil, masalah penambahan berat badan semasa hamil dan selepas melahirkan.

Risiko masalah kesihatan semasa hamil seperti darah tinggi, kencing manis, darah beku. Apa yang merisaukan penyakit ini boleh kekal selepas melahirkan.

Jika melahirkan secara Caesarean, luka juga lambat sembuh dan cenderung mendapat jangkitan kuman berbanding mereka yang BMI normal.

Komplikasi kepada bayi seperti boleh dikesan lebih besar daripada purata saiz bayi dalam umur kandungan yang sama.

Selain itu, risiko mendapat tahap gula tinggi di dalam darah bayi (hyperglycaemia) lebih tinggi semasa di dalam kandungan dan ‘hypo’ selepas kelahiran.

1.Optimumkan kawalan masalah kesihatan.

Contoh : Jika ada masalah tiroid, dapatkan nasihat doktor untuk mengawal kadar hormon dan mencegah komplikasi akibatnya.

Guna kaedah yang sama untuk masalah kesihatan yang lain seperti masalah kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung, penyakit mental, buah pinggang, sawan (epilepsy) dan anaemia.

Setiap masalah kesihatan ada komplikasi tersendiri kepada ibu dan bayi dalam kandungan.

Wanita yang ada masalah kurang darah merah (anaemia) juga dinasihatkan untuk ambil tambahan zat besi melalui makanan atau supplemen tambahan.

Penting untuk diketahui sebabnya. Jika tahap darah merah sebelum hamil sedia rendah, ditakuti akan terus menurun jika tidak dibantu dengan pemakanan tambahan zat besi.

Secara purata wanita akan kehilangan darah yang agak banyak semasa melahirkan, sebab itu penting ada tahap darah merah yang baik.

1.Semak ubat-ubatan yang sedang diambil sekarang.

Bukan semua ubat-ubatan selamat diambil semasa hamil dan dalam tempoh TTC.

Perlu nasihat doktor dan ahli farmasi untuk alternatif. Ini penting memandangkan perkembangan dan pembesaran bayi dalam kandungan turut sama terkesan jika perkara ini tidak diambil berat daripada awal.

Sebaiknya jika mahu TTC, segera bertemu janji dengan doktor bagi menyemak senarai ubatan anda ya!

Makanlah asid folik semasa dalam TTC dan tiga bulan di awal kehamilan. Ini penting bagi mengurangkan risiko masalah kecacatan tiub neural (Neural Tube Defects)

Alhamdulillah. Di Malaysia, 3 perkara di atas adalah antara perkara yang dititikberatkan dalam klinik penjagaan pra-kehamilan.

Apa itu penjagaan pra-kehamilan?

Inilah antara langkah terpenting dilakukan sebelum hamil. Ia merangkumi penjagaan kesihatan wanita di usia reproduktif seperti :

Mempromosi dan memberi pendidikan kesihatan kepada wanita

Menyaring dan mengesan faktor risiko penyakit

Melakukan rawatan/pencegahan atas faktor risiko yang dikenalpasti

Mengoptimakan tahap kesihatan/penyakit sedia ada sebelum hamil

Menggalakkan kehamilan terancang

Kenapa pentingnya penjagaan pra-kehamilan ini?

Memastikan tahap kesihatan wanita optima sebelum hamil

Mengenalpasti faktor risiko kesihatan wanita dan mengawalnya.

Mengenaplasti faktor risiko genetik dan memberikan sokongan kaunseling dan pekhidmatan lanjutan

Membantu wanita mengurangkan risiko kesihatan dan kehamilan berkaitan berat badan, pemakanan, merokok, dadah dan lain-lain.

Anda adalah golongan sasaran klinik penjagaan pra-kehamilan ini sekiranya :

Berusia dalam lingkungan reproduktif dan ada masalah kesihatan

Telah berkahwin dan merancang untuk hamil

Berumur kurang daripada 18 tahun atau lebih 35 tahun dan merancang untuk hamil

Sejarah kandungan bayi ada kecacatan, keguguran berulang atau lahir mati (untuk kaunseling)

Jadi, pakat-pakat ke klinik pra-kehamilan yang berdekatan dengan anda ya untuk mendapatkan perkhidmatan ini.

Semoga ia dapat membantu anda untuk menempuh pengalaman kehamilan yang terindah insyaAllah.

#AimiGYN
#MedTweetMY

Dapatkan kumpulan perkongsian cerita menarik berkaitan bidang kesihatan wanita di aimirahayu.com.

Nota : Kisah-kisah benar diolah dan diselit mesej yang sahih.

Follow | Like | Comment | Share untuk perkongsian dan cerita yang memberiTAHU dan memberi ILMU untuk kesihatan semua. 

Media sosial :
FB : facebook.com/aimirahayuAR
Twitter : twitter.com/aimirahayuAR
Youtube : youtube.com/aimirahayuabdulrashid
Instagram : instagram.com/aimirahayuAR
FB Page : facebook.com/doktorbidan
Telegram : t.me/doktorbidan

This Post Has 0 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back To Top
×Close search
Search