Selamat tinggal kopiku
“Doktor, saya tidak boleh tinggallah kopi doktor, rasa janggal je sehari tidak pekena kopi. Saya ni hantu kopi doktor, entah-entah hantu pun tak macam saya.”
Diey berlelucon pagi-pagi ini.
“Memanglah hantu pun takut, dia kata macam gila iseng kot!”
Ok.
Sebelum korang nak rasa aku merapu, ini pesakit yang biasa berjumpa denganku di klinik, sudah jadi baik mudah bergurau. Oppsss…!
“Kot-kot ada drakula yang hisap darah malam-malam tak tahulah!”
“Ish, doktor!”
—
Semasa mengandung, antara masalah yang biasa dialami oleh wanita ialah masalah kurang sel darah merah atau ‘anaemia’. Antara simptom yang biasa diadu kepada doktor atau jururawat di klinik ialah kepenatan.
Ada yang cepat mengah semasa berjalan atas permukaan yang landai atau semasa menaiki tangga.
Apa perubahan yang berlaku semasa hamil yang menyebabkan ‘anaemia’ terjadi?
Fisiologi semasa kehamilan adalah berbeza untuk menampung tumbesaran janin. Semakin membesar kandungan , penghasilan sel darah merah tidak mencukupi untuk keperluan kerana pada masa yang sama badan menghasilkan banyak isipadu darah. Ini menyebabkan pencairan darah berlaku di mana penghasilan plasma darah bertambah lebih banyak daripada bilangan sel darah merah.
“Jadi berapa tahap darah merah yang OK semasa hamil doktor? Saya nak cuba capai ni sementara masih ada masa,” sedih pula dengan cerita sementara masih ada masa ni, Diey.
“Kita ada tahap berbeza ikut trimester, trimester pertama 11 g/dl, trimester kedua 10.5 g/dl dan kembali ke 11 g/dl di trimester ketiga.
Ada sebab kenapa kita tekankan perlu menjaga tahap haemoglobin ke tahap yang disarankan.”
Semasa kelahiran, kebiasaannya akan berlaku pendarahan, sikit atau banyak. Bila tahap haemoglobin berada di tahap yang baik, ia tidak
menyebabkan si ibu ada simptom penat dan cepat mengah. Ini membolehkan aktiviti si ibu selepas bersalin tidak dibatasi masalah ini.
Namun jika berlaku tumpah darah, risiko perlu diresusitasi dan diberikan bantuan beg darah tinggi bagi mengurangkan simptom dan mengembalikan bacaan nadi, tekanan darah ke tahap yang normal.
Apa penyebab ‘anaemia’ semasa mengandung?
• 75-95% wanita yang mengandung mengidap ‘anemia’ disebabkan oleh kekurangan zat besi
• Kekurangan folate dan vitamin B12
• Jangkitan seperti HIV, malaria, cacing, hepatitis, tuberkulosis
• Talasaemia
Bila ada masalah ‘anaemia’, kena patuhi amalan pemakanan yang betul.
Kurangkan atau lebih baik tidak minum kopi dan teh, makan tablet zat besi ketika perut kosong sebaiknya dan makan makanan sihat yang mengandungi zat besi seperti ayam, kekacang seperti kacang merah, kacang pea dan kacang soya, ikan, daging (hati merupakan bahagian yang kaya dengan zat besi), telur, kerang, daging merah, jem kacang, kacang soya, roti, oat, kismis dan sayuran hijau seperti bayam.
Diey mengangguk macam burung pelatuk.
Harapnya nasihat ini meresap masuk ke dalam hatinya.
Bukannya apa, ini semua untuk kebaikan Diey dan kandungan, elak risiko dan kesan akibat kurang darah merah semasa hamil, semasa melahirkan dan seterusnya.
Dapatkan kumpulan perkongsian cerita menarik berkaitan bidang kesihatan wanita di aimirahayu.com.
Nota : Kisah-kisah benar diolah dan diselit mesej yang sahih.
Follow | Like | Comment | Share untuk perkongsian dan cerita yang memberiTAHU dan memberi ILMU untuk kesihatan semua.
Media sosial :
FB : facebook.com/aimirahayuAR
Twitter : twitter.com/aimirahayuAR
Youtube : youtube.com/aimirahayuabdulrashid
Instagram : instagram.com/aimirahayuAR
FB Page : facebook.com/doktorbidan
Telegram : t.me/doktorbidan