‘Se’eh’ Pada Pesakit Kanser
Ini cerita tugas atas panggilan pada suatu hari. Suatu ketika.
“Doktor, pesakit di katil 10 tidak boleh tidur, susah nak bernafas katanya. Resah sahaja.”
“Susah nak bernafas? Kadar oksigen macam mana?”
Aku sudah berfikir-fikir apa masalah yang sedang terjadi pada pesakit katil 10. Oleh kerana dia pesakit kanser, kebarangkalian mendapat darah beku di paru-paru sangat tinggi, malam atas panggilan ini akan menjadi malam yang panjang.
“99% doktor, saya sudah periksa beberapa kali.”
“Doktor, pesakit kata dia ‘se’eh’ doktor.”
Klik. Satu perkataan yang mencantumkan peta jawapanku.
…
Di siang hari,
“Aimi, pesakit temujanji hari ini ke klinik pakar kanser perlu dimasukkan ke wad ya, kadar albumin darah terlalu rendah.”
Aku bertugas atas panggilan hari itu. Pesakit yang dimasukkan ke wad perlu disaring kesihatan mereka, saringan COVID-19 perlu juga dilakukan bagi mengurangkan risiko epidemik ini.
“Baiklah, hantar dia ke sini, biar saya periksa.”
Dia hadir ke wad ditemani anak perempuannya. Aku bertemu dia buat kali pertama di tepi katil 10.
Apakah yang boleh dibayangkan pada seorang pesakit kanser tahap akhir?
Wajahnya cekung, badannya kecil dan kurus, ‘cachexic’ perkataan setepatnya. Perutnya membulat, air isinya. Kulitnya kering, salur darahnya juga merata. Satu perkara yang bakal berlaku, kesukaran mendapatkan darahnya untuk dibuat pemeriksaan di makmal.
“Sejak Puan mendapat tahu diagnosis penyakit ini, apa perubahan yang berlaku? Selera makan bagaimana?”
“Saya makan macam biasa lagi doktor, tidak banyak mana pun. Tapi berat badan turun mendadak,” katanya sayu memandang ke bawah.
Tugas pertamaku adalah mengambil darah pesakit dan memasukkan tiub ke dalam salur darahnya. Peluh kasar menitik di dahiku kerana melihat tangannya yang kurus, ‘tinggal tulang’ orang kata. Hampir tiada komposisi lemak di anggota badan, salur darah tidak kelihatan.
“Saya lihat dan cuba cari salur darah yang sesuai untuk masukkan tiub ya.”
Satu. Terus mengena pada satu salur darah di pelipat sikunya. Kawasan yang tidak strategik kerana pesakit akan melipat siku. Namun, pilihan yang ada ialah cuba mengambil darah untuk pemeriksaan makmal dan meletakkan tiub salur darah di situ.
Darah yang keluar hanya 1 mls, alamak!
Sudahlah salur darah agak susah nak dapat, darah yang diambil tidak mencukupi, kesemuanya ditolak. Kena ambil sampel yang baru.
Kadang-kadang ingin sahaja aku selalu berharap untuk ada mesin yang sangat sensitif kepada sampel, hanya perlukan sedikit sahaja.
Bukan semua pesakit mudah diambil darahnya. Lebih-lebih lagi pesakit kanser.
Dan seperti sedia maklum, darah pesakit ini ditolak lagi.
Pasrah.
Kali ini, aku biarkan dahulu pesakit berehat, kasihan dirinya yang terpaksa diambil darah berulang kali. Walaupun setiap kali cucukan jarum mengenai kulitnya, dia hanya diam, tidak sakit katanya. Tenang sekali.
…
Malam itu, “Doktor, pesakit di katil 10 tidak boleh tidur, susah nak bernafas katanya. Resah sahaja.”
“Susah nak bernafas? Kadar oksigen macam mana?”
Aku sudah berfikir-fikir apa masalah yang sedang terjadi pada pesakit katil 10. Oleh kerana dia pesakit kanser, kebarangkalian mendapat darah beku di paru-paru sangat tinggi, malam atas panggilan ini akan menjadi malam yang panjang.
“99% doktor, saya sudah periksa beberapa kali.”
Perbualanku dengan jururawat bersambung sambil bertanyakan lagi kelainan pada ‘vitals’nya. Aku berlari-lari anak ke arah katil 10, takut pesakit sukar untuk bernafas.
Aku lihat dia hanya duduk di atas katil, melunjurkan kaki. Berpusing ke kiri, ke kanan, tidak boleh baring katanya.
Jam sudah hampir ke 12 tengah malam. Aku lihat pesakit ini resah kerana berasa ‘se’eh’. Tidak lain tidak bukan, perlu dibuang sedikit air di dalam perutnya supaya pernafasannya semakin pulih. Namun, aku perlu melunaskan ‘hutang’ darahnya yang masih belum diambil sejak petang tadi. Ia penting kerana prosedur seterusnya perlu keputusan darah yang normal.
Mungkin sedikit baik kali ini, aku berjaya mengambil darahnya. Lega sungguh hati. Berulang kali aku meminta maaf kepada pesakit, kerana kesukaran itu. Ternyata dia tabah, walaupun kesukaran dan walang hatinya mengenangkan nasib diri.
‘Se’eh’ bagiku adalah satu perkataan yang aku simpan penggunaannya dan pengertian pertama kali perkataan itu didengar juga daripada pesakit kanser.
Satu perkataan, kuat maknanya pada komplikasi pengumpulan air dalam abdomen. Sedikit demi sedikit, sampai satu masa ia memberi tekanan dan menolak diafragma ke atas.
Untuk kita yang lain, bayangkan senak rasa selepas makan dalam kuantiti yang banyak. Agaknya begitulah rasa yang dialami pesakit katil 10, namun ia bukan rasa selepas enak makan banyak, ia rasa akibat komplikasi kanser.
Setelah berbincang dengan pakar, pagi jam 2, prosedur mengeluarkan cecair dari abdomennya dilakukan. Jarum kelabu bersaiz besar digunakan untuk tujuan ini. ‘Rescue tapping’ sebanyak 1 liter aku lakukan bagi memberikan keselesaan buat dia. Sekurang-kurangya dia boleh tidur dan menyambung rawatan pada paginya.
Ada satu lagi cerita ‘se’eh’ yang kuat dalam minda. Kita cerita di lain masa.
Dapatkan kumpulan perkongsian cerita menarik berkaitan bidang kesihatan wanita di aimirahayu.com.
Nota : Kisah-kisah benar diolah dan diselit mesej yang sahih.
Follow | Like | Comment | Share untuk perkongsian dan cerita yang memberiTAHU dan memberi ILMU untuk kesihatan semua.
Media sosial :
FB : facebook.com/aimirahayuAR
Twitter : twitter.com/aimirahayuAR
Youtube : youtube.com/aimirahayuabdulrashid
Instagram : instagram.com/aimirahayuAR
FB Page : facebook.com/doktorbidan
Telegram : t.me/doktorbidan