skip to Main Content
Pilihan Di Tangan Anda

Pilihan di Tangan Anda

“Doktor, saya sepatutnya datang untuk masuk wad hari ni, tapi saya datang ni nak tanya kenapa saya tak buat HSG (hysterosalpingopraphy) sahaja? Kenapa kena buat ujian kamera di dalam OT?”

Ini pesakit dari klinik yang aku ingat hari tu. Kenapa hari ni timbul soalan ni?

“Suami saya kata tak perlulah buat ujian kamera ini lagi. Kakak saya pun kata patutnya saya buat HSG je (sambil tunjuk sisipan laman web mengenai prosedur HSG kepadaku). Kami nak berubat secara kampung sahaja dulu.”

Pulak!

Kebanyakan pasangan yang bersungguh untuk berjumpa doktor dan menjalani rawatan kesuburan selepas bertahun tidak berjaya hamil sendiri adalah wanita.

Tidaklah aku menidakkan sesetengah pasangan lelaki yang juga meletakkan kesungguhan bersama-sama si isteri, namun stigma masalah kesuburan adalah masalah wanita yang tidak subur masih beraja dalam masyarakat kita. Tidak kurang pula pabila isu ini melibatkan ego.

Situasi di klinik kesuburan.

Mimi hadir seorang diri untuk temujanji kedua ini.

Biasanya kami ingin kehadiran berdua kerana banyak perkara yang ingin dibincangkan hasil pemeriksaan darah,’follow-up’ daripada pelan temujanji terdahulu. Takpelah, kita teruskan sahaja kali ini.

“Ini ujian sperma suami saya doktor, kami buat di luar baru-baru ini. Normal sahaja.”

Aku melihat sekali lalu dan mengiyakan. Keputusan hasil pemeriksaan darah yang lain diperjelaskan kepada Mimi supaya dia faham apa tindakan selanjutnya.

“Puan, untuk kali ini setelah berbincang dengan Pakar Perunding Kesuburan, kami syorkan untuk Puan jalani ujian kamera dan ‘dye test’ untuk melihat tiub fallopio Puan samada tersumbat atau tidak.”

“Ada dua ujian yang boleh dilakukan untuk ini. HSG atau ujian kamera. Tapi untuk Puan kami syorkan ujian kamera kerana isu Puan yang mempunyai masalah kesakitan semasa haid yang teruk. Berkemungkinan besar isu ini berkait dengan masalah endometriosis. Imbasan hari tu pun ada menunjukkan Puan ada endometrioma, sejenis sista yang boleh ada jika Puan mempunyai masalah endometriosis. Jadi apabila kita melakukan ujian kamera ini, kami dapat melihat dengan lebih jelas keterukan masalah ini. Selain itu kami akan buat ujian ‘dye test’ untuk tiub fallopio Puan.”

Seterusnya penerangan diberikan berkenaan keperluan prosedur, risiko, kebaikan dan keburukan, serta perbezaan dengan HSG.

Aku kira Mimi sudah jelas kerana di akhirnya soalan yang diutarakan aku jawab dengan sepenuhnya. Cuma aku terkilan kerana tiada pasangannya di sisi semasa perbincangan ini terjadi. Mimi nampak agak ‘gabra’ apabila perlu masuk ke bilik pembedahan untuk prosedur kamera itu nanti.

Tiba hari untuk Mimi masuk ke dalam wad. Prosedurnya akan dilakukan esok. Sehari lebih awal kemasukan ke wad untuk dilakukan pemeriksaan kemasukan dan persediaan agar prosedur berjalan dengan lancar.

Aku berada di kaunter klinik selepas selesai bertemu dengan seorang pesakit lain tadi. Di situ aku ternampak Mimi sedang bercakap dengan jururawat staf klinik.

“Doktor, boleh tolong bincang sedikit dengan pesakit ni? Dia tak mahu teruskan prosedur ‘laparoscopy’ dan ‘dye test’ esok.

Aku diam.

“Doktor, saya sepatutnya datang untuk masuk wad hari ni, tapi saya datang ni nak tanya kenapa saya tak buat HSG (hysterosalpingopraphy) sahaja? Kenapa kena buat ujian kamera di dalam OT?”

Kenapa hari ni timbul soalan ni?

“Suami saya kata tak perlulah buat ujian kamera ini lagi. Kakak saya pun kata patutnya saya buat HSG je (sambil tunjuk sisipan laman web mengenai prosedur HSG kepadaku). Kami nak berubat secara kampung sahaja dulu.”

Pulak!

Aku duduk dan membuka kembali nota pesakit Mimi daripada sistem komputer. Telah diterangkan segala-galanya tentang prosedur yang bakal Mimi lalui padanya di temujanji hari tu.

Kenapa tiba-tiba berubah fikiran?

“Suami saya rasa tidak yakin nak beri kebenaran untuk prosedur ini. Katanya dia tak faham prosedur ini kenapa sampai kena masuk dewan bedah. Jadi kami fikir biarlah nak cuba berubat kampung dulu. Kakak saya pun ada kenal orang boleh berurut ni. Dia pun tak sokong nak buat prosedur ni.”

Sedih juga mendengarkan kata-kata Mimi. Terasa sia-sia penerangan yang diberikan padanya pada temujanji yang lalu.

Lebih terkilan ialah suaminya sendiri tidak datang ke klinik mendengar penerangan terus daripadaku. Pun tidak juga datang hari ini untuk mendengar penjelasan.

Aku cuba memujuk Mimi kerana kufikirkan perkara ini berlaku kerana salah faham dan ketidakfahaman tentang prosedur ini. Namun negatif hasilnya.

Setiap pesakit mempunyai autoriti terhadap dirinya dan apa-apa prosedur yang ingin dilakukan. Aku tidak ingin memaksa namun terasa situasi sebegini boleh dielakkan sekiranya suami Mimi datang untuk mendengar sendiri di klinik.

Seringkali rawatan kesuburan atau mana-mana rawatan untuk pesakit terbantut akibat ketidakfahaman yang berlaku sebegini.
Pesakit sudah faham dan bersedia, namun apabila berbincang dengan ahli keluarga, lain jadinya.

Ada kes kanser payudara di mana isteri tidak mahu teruskan pembedahan membuang ketulan kanser di payudaranya kerana tidak dibenarkan suami? Akibatnya si isteri menderita.

Ada kes kanser rahim, asalnya dijadualkan untuk dibedah namun kami menerima panggilan daripada anaknya untuk menolak rawatan menerusi telefon sahaja?

Alasannya mahu melakukan rawatan alternatif. Kami cuba pujuk namun kami dinasihatkan oleh anak pesakit agar ‘menghormati’ kehendak anak-anaknya. Yang menderita? Ibu mereka.

Menjadi waris dan pasangan kepada pesakit adalah satu tanggungjawab yang besar.

Fahamilah keadaan kesihatan pesakit dan sebarang saranan yang diutarakan oleh doktor untuk kebaikan mereka juga.

Sebaiknya, datang sendiri ke klinik untuk berjumpa dan berbincang kerana ia lebih menjamin kefahaman, kemusykilan juga dapat dirungkaikan.

Teringat aku pada kata-kata balas pakar ketika aku memberitahunya perihal kes ini.

“Kita tak boleh paksa-paksa orang, tugas kita terangkan dan cuba bantu mereka. Mereka mahu dibantu atau tidak, terpulang pada mereka. Kita masih di sini jika mereka perlukan pertolongan.”

Ya, tugas kami masih sama, memberi khidmat kesihatan kepada semua. Tanpa prejudis, tanpa memilih.

#AimiGYN
#MedTweetMY

Dapatkan kumpulan perkongsian cerita menarik berkaitan bidang kesihatan wanita di aimirahayu.com.

Nota : Kisah-kisah benar diolah dan diselit mesej yang sahih.

Follow | Like | Comment | Share untuk perkongsian dan cerita yang memberiTAHU dan memberi ILMU untuk kesihatan semua. 

Media sosial :
FB : facebook.com/aimirahayuAR
Twitter : twitter.com/aimirahayuAR
Youtube : youtube.com/aimirahayuabdulrashid
Instagram : instagram.com/aimirahayuAR
FB Page : facebook.com/doktorbidan
Telegram : t.me/doktorbidan

This Post Has 0 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back To Top
×Close search
Search