Pap Smear – Mencegah Lebih Baik Daripada Merawat
“Puan pernah dengar saringan pap smear?”
Aku lihat dia menggeleng. Bukan perkara yang baru, kebanyakan ibu di wad postnatal tidak tahu dan tidak pernah mendengar apa itu pap smear.
Masih asing lagi istilah ini pada mereka.
Ini tugasku untuk menerangkan kepada mereka. Pasti.
“Ini satu ujian saringan yang saya amat sarankan buat semua wanita yang memenuhi kriteria.”
Sesi kaunseling postnatalku tidak pernah sekejap, inilah sebabnya.
“Ia salah satu cara pencegahan kanser pangkal rahim atau kita panggil kanser serviks.”
—
Ujian pap smear di negara kita bersifat ‘opportunistic’ di mana apabila wanita datang ke premis kesihatan, mereka akan diberikan penerangan mengenai ujian pap smear ini dan seterusnya menjalaninya.
Namun begitu, masih ramai yang masih tidak melakukannya kerana mungkin kurangnya pemahaman dan informasi, malu atau takut.
Ketahuilah, ujian saringan ini dapat membantu wanita menjaga kesihatan dan seterusnya mencegah kanser pangkal rahim.
Kanser ini merupakan ;
1. kanser kedua terbanyak di kalangan wanita selepas kanser payudara.
2. lebih kurang 18 orang wanita daripada setiap 100,000 penduduk mengidap kanser ini.
3. 37.9% (2,000 – 3,000 kes setiap tahun) daripada semua kes kanser yang dimasukkan ke hospital kerajaan adalah terdiri daripada kanser serviks.
4. 10.5% daripada kematian wanita yang mengidap kanser di hospital kerajaan adalah disebabkan oleh kanser serviks.
Siapakah golongan berisiko tinggi mendapat kanser serviks?
Berhubungan seksual pada usia terlalu muda.
Mempunyai pasangan seks yang ramai
Jangkitan kuman melalui hubungan seksual seperti ‘HPV’ (Human Papilloma Virus)
Kurang jagaan kebersihan anggota sulit
Merokok (merendahkan sistem imun tubuh badan) meningkatkan risiko kanser serviks sebanyak empat kali ganda.
Kurang daya tahan melawan penyakit, disebabkan oleh jangkitan atau penyakit tertentu seperti HIV, Herpes
Apakah gejala kanser pangkal rahim?
Perdarahan yang luarbiasa dari vagina (bukan haid)/banyak/berpanjangan/pendarahan di antara haid
Sakit di bahagian alat sulit wanita
Perdarahan dari vagina selepas hubungan seksual
Sakit semasa hubungan seksual
Perdarahan dari vagina selepas putus haid
Keluar cecair yang luarbiasa dari vagina/berbau/bercampur darah
Jadi apa kaitan ujian saringan pap smear dengan kanser serviks?
Kanser serviks mengambil masa lebih kurang 10 – 15 tahun untuk manifestasi. Sebelum sel kanser serviks dikesan, tisu-tisu di serviks mula berubah. Sel-sel yang berubah ini boleh dikesan melalui ujian pap smear.
Siapakah yang perlu menjalani ujian ini?
Semua wanita yang pernah melakukan hubungan seks dan berumur antara 25 – 65 tahun disarankan menjalani ujian pap smear.
Ujian ini adalah ujian di klinik, tanpa bius. Mengambil beberapa minit sahaja masanya untuk dilakukan.
Spekulum dan berus cyto akan dimasukkan ke dalam faraj untuk mengambil sampel serviks. Ia akan dihantar ke makmal bagi mendapatkan keputusan ujian.
Keputusan ujian akan menentukan rawatan susulan jika perlu. Keputusan normal – jalani ujian saringan pap smear setiap 3 tahun.
Kini, ujian pap smear juga dibuat bersama-sama dengan ujian Human Papilloma Virus atau HPV. Virus ini adalah antara penyebab terbesar kanser serviks. HPV dibawa dari individu ke individu yang lain melalui hubungan seks.
Bagaimana jika mahu melakukan ujian saringan ini? Ke mana harus dirujuk?
Dapatkan informasi di klinik berhampiran. Ujian saringan pap smear ini boleh dilakukan di :
Di semua klinik dan hospital kerajaan
Di klinik/hospital swasta
Federation of Family Planning Association Of Malaysia (FFPAM)
Lembaga Penduduk Perancang Keluarga Negara (LPPKN)
Bagaimana untuk mencegah kanser pangkal rahim?
Amalkan cara hidup yang sihat.
Lakukan pap smear setiap 3 tahun, jumpa anggota kesihatan dan lakukan ujian pap smear, jika masih belum dilakukan lagi.
Mendapat vaksin HPV
Vaksin ini boleh mengurangkan risiko mendapat kanser pangkal rahim sehingga 70%. Vaksin ini menghalang seseorang wanita itu daripada dijangkiti kuman HPV isitu penyebab utama kanser pangkal rahim.
Ingatlah, mencegah lebih baik dari merawat.
Dapatkan kumpulan perkongsian cerita menarik berkaitan bidang kesihatan wanita di aimirahayu.com.
Nota : Kisah-kisah benar diolah dan diselit mesej yang sahih.
Follow | Like | Comment | Share untuk perkongsian dan cerita yang memberiTAHU dan memberi ILMU untuk kesihatan semua.
Media sosial :
FB : facebook.com/aimirahayuAR
Twitter : twitter.com/aimirahayuAR
Youtube : youtube.com/aimirahayuabdulrashid
Instagram : instagram.com/aimirahayuAR
FB Page : facebook.com/doktorbidan
Telegram : t.me/doktorbidan