skip to Main Content
Oligospermia

Oligospermia

Oligospermia?

“Ya doktor, betul tu. Saya dah periksa beberapa kali. Sperma banyaknya dah mati, yang cacat tiada kepala, ‘gohead gostan’. Pendek kata ‘oligo’lah. Cuba doktor jumpa pasangan ni di dalam bilik klinik 3 ya. Saya dah minta mereka ke situ.”

Korang nak tahu siapa penyebab ‘oligospermia’ ni?

Ini sudah seperti cerita drama Melayu, sang isteri tertekan kerana tidak boleh mengandung lagi.

Pernah dengar tak pasangan wanita yang disalahkan sebab tak hamil lagi? Asal tak mengandung je salah perempuan, klise bukan?

Jangan terkejut, inilah tanggapan masyarakat kita. Dan hari ini aku nak perbetulkan ya.

Rina seorang wanita yang tulus mukanya, lemah lembut dan suaranya halus. Dari air mukanya, aku menelah emosi, tekanan dan kesedihan. Mungkin perlu aku rujuk kepada ahli psikologi bagi menyelami hatinya.

“Boleh saya tahu sejarah kesihatan Puan?”

Dia bercerita satu-persatu, menjawab soalan demi soalanku dengan baik. Mereka sudah berkahwin lebih 5 tahun, namun tiada tanda-tanda lagi Rina sudah berbadan dua.

Untuk konsultasi kesuburan, maklumat pasangan diperlukan bagi membolehkan doktor mengenalpasti punca ketidaksuburan.

Ya, perempuan dan pasangannya.

Kenapa macam tu doktor?

Punca ketidaksuburan bukan 100% datangnya daripada perempuan sahaja, lelaki juga adalah penyumbang masalah ini. Maka kedua-duanya perlu diambil maklumat dan diperiksa yang perlu.

“Baik Tuan, bagaimana masalah kesihatan Tuan? Ada makan apa-apa ubatan? Kerjaya Tuan ada melibatkan bahan kimia? Tuan merokok?”

Satu persatu persoalan dan jawapan aku terima. Sambil-sambil menaip di komputer, kertas keputusan ujian sperma itu masih di hadapanku di atas meja, menunggu masa yang sesuai untuk aku beritahu kepada mereka.

“Suami saya perokok tegar doktor. Kalau sehari tak merokok tak sah, kadang-kadang dua pek habis sehari. Saya nasihat tak dikisahnya.”

Ting!

‘Masanya dah tiba, cepat cakap pasal ujian sperma’, monolog aku sendirian.

“Tuan, lihat ini. Keputusan ujian sperma Tuan hari ini sangat mendukacitakan. Sperma semua tidak aktif. Mati. Dan saya rasa kaitannya dengan tabiat merokok Tuan tu.”

Sang suami melihat aku dengan pandangan kosong. Aku masih tidak berputus asa.

Aku ketik di papan kekunci S-P-E-R-M-A.

Butang ENTER ditekan dan ruangan imejan Google aku klik. Seringkali aku guna cara gambar sebegini menunjukkan jenis sperma apabila menerangkan kepada pasangan di klinik.

“Cuba tengok gambar ni, kita nak sperma yang aktif, cukup dan elok sifatnya (gambar 1). Bila bergerak pun dia ke depan, bukan ke belakang, ke kiri ke kanan, senget-senget semua tu (gambar 2). Bergerak setempat, ‘gohead gostan’ pun tak nak,” penerangan aku berikan sambil jari telunjukku membuat pergerakan cacing.😆

“Ujian sperma Tuan hari ni, banyaknya sperma nampak macam yang ni, ni, ni (nanti korang tengok gambar selain sperma yang cukup sifat tu, ha itulah yang aku tunjuk kat suami si Rina ni🤓).

“Jadi, hari ni ujian sperma Tuan ‘oligospermia’. Dan saya rasa faktor risiko penyumbang kepada masalah ini ialah tabiat merokok Tuan tu,” ha, sedas aku bagi, tapi masih intonasi profesional ok.

“Susah saya nak berhenti doktor. Bukan saya tak cuba, dah cuba dah, tapi rasa ketagih tu kuat betul, tak mampu saya melawan godaannya,” aku kesan nada melucu dalam intonasi jawapan suami Rina.

“Beginilah Tuan, saya nasihatkan cuba sekali lagi untuk berhenti merokok. Ia boleh membantu sedikit sebanyak usaha Tuan suami isteri untuk mendapatkan anak. Dengan keputusan ujian sperma Tuan ni, kebarangkalian untuk hamil lebih rendah apatah lagi banyak sperma pula kalau hidup pun, cacat.”

“Anggaplah ini ‘wakeup call’ Tuan untuk berhenti merokok.”

“Jika kita berusaha, isteri Tuan kita buat macam-macam cara untuk hamil tapi sperma daripada Tuan tidak sihat, saya rasa ‘counterproductive’ di situ. Rendahlah kebarangkalian untuk hamil.”

“Habis tu kenapa ramai kawan saya yang merokok anak ramai je doktor?”

Dah agak dah soalan itu yang akan ditanya. Aku masih tidak berputus asa.

“Itu rezeki namanya. Kita sedia ketahui merokok boleh menyebabkan masalah seperti Tuan sekarang. Dan disebabkan sejarah ketidaksuburan ini, berhenti merokok adalah salah satu usaha kita untuk meningkatkan peluang untuk hamil, apatah lagi ujian sperma Tuan juga menunjukkan tahap kesihatan sperma Tuan.”

Aku menulis senarai plan rawatan untuk mereka.

Berhenti merokok dan kembali datang membuat ujian sperma ulangan dalam masa 3 bulan. Jika kesan rokok sudah tiada dalam badan, sperma yang baru terhasil akan menjadi sperma yang sihat dan aktif.

Makan supplemen yang disyorkanku untuk menyokong kesihatan sperma selama tiga bulan ini. Aku menulis namanya di kertas dan dihulurkan kepada suami Rina.

Dan juga tidak dilupa plan untuk Rina. Makan asid folik dah kena mula ya. (Cuba baca cerita semalam di ruang mukabuku ini.)

Harapnya dia sedar.

Usaha untuk hamil bukan usaha isteri semata-mata. Ia usaha berdua.

Jangan disalahkan isteri sebelum diperiksa kedua-duanya.

Datang berjumpa doktor dan kami cuba bantu anda.

Anak yang diimpi tidak hadir hanya dengan usaha isteri.

Ibarat kata pepatah, ‘tepuk sebelah tangan takkan berbunyi’. Usaha berdua membawa bahagia.

#AimiGYN
#MedTweetMY

Dapatkan kumpulan perkongsian cerita menarik berkaitan bidang kesihatan wanita di aimirahayu.com.

Nota : Kisah-kisah benar diolah dan diselit mesej yang sahih.

Follow | Like | Comment | Share untuk perkongsian dan cerita yang memberiTAHU dan memberi ILMU untuk kesihatan semua. 

Media sosial :
FB : facebook.com/aimirahayuAR
Twitter : twitter.com/aimirahayuAR
Youtube : youtube.com/aimirahayuabdulrashid
Instagram : instagram.com/aimirahayuAR
FB Page : facebook.com/doktorbidan
Telegram : t.me/doktorbidan

Kredit gambar :
http://www.myhealth.gov.my/en/66548/

Nota artikel : Untuk terma yang lebih tepat, apabila melibatkan masalah bilangan sperma, pergerakan sperma dan morfologinya, terma yang digunakan ialah oligo-astheno-teratospermias (OATs).

This Post Has 0 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back To Top
×Close search
Search