Nasihat rare untuk ibu hamil
“Ok Puan, saya ada satu nasihat ‘rare’ yang rasa-rasanya mungkin wanita mengandung sulung macam Puan tidak pernah dengar atau jarang-jarang orang mahu bagi nasihat sebegini, nak tahu tak?”
Aku lihat wajahnya penuh tanda tanya.
Aku pasti dia tidak pernah dengar. Ramai sudah aku jumpa di klinik sebegitu.
…
Aku selalunya mengulang nasihat ini selepas menerangkan mengenai simptom atau tanda kelahiran. Kerana selalunya apabila ditanya perihalnya, hanya gelengan yang kuterima.
“Puan tahu episiotomi bukan? Ini adalah salah satu cara bagi mengawal koyakan perineum semasa bayi dilahirkan. Kami tidak jadikan ia rutin untuk semua kelahiran apatah lagi kelahiran pertama.”
“Selalunya kami akan nilai secara klinikal keperluan episiotomi semasa Puan meneran bayi dan kepalanya hampir keluar. Ini bagi mengelakkan koyakan perineum yang lebih besar dan tidak terkawal. Boleh koyak sampai ke lubang usus.”
“Saya pernah dengar Dr, takut juga ya jika terkoyak macam tu sekali. Seriau juga fikir!”
“Tidak mengapa Puan. Yang penting Puan ikut cakap bidan dan doktor yang berada bersama-sama Puan semasa proses kelahiran. InsyaAllah.”
“Ok Puan, saya ada satu nasihat ‘rare’ yang rasa-rasanya mungkin wanita mengandung sulung macam Puan tidak pernah dengar atau jarang-jarang orang mahu bagi nasihat sebegini, nak tahu tak?”
“Menarik tu doktor, apa dia?
“Saya nak syorkan Puan melakukan urutan perineum.”
Dan aku pun bercerita dengan semangatnya, sambil tangan dan ibu jariku menggawang membentuk bulatan urutan perineum.
…
Ok. Apa itu perineum?
Perineum adalah satu bahagian tisu di antara vagina dan anus (dubur) yang bersambung dengan otot/lantai pelvis.
Perineum penting untuk wanita.
Kecederaan atau regangan perineum boleh menjejaskan sokongan kepada otot lain seperti usus dan pundi kencing dan rahim boleh jatuh.
Otot/lantai pelvis yang lemah boleh mempengaruhi kawalan terhadap usus dan pundi kencing.
Ia juga boleh menyebabkan ketidakselesaan dan kesakitan semasa hubungan seksual.
Lebih kurang 85% wanita boleh mendapat koyak perineum semasa melahirkan.
Jadi, antara langkah bagi mengurangkan kadar koyakan perineum ialah dengan melakukan urutan perineum.
Apa itu urutan perineum?
Ia satu cara menyediakan perineum meregang lebih baik semasa melahirkan bayi.
Semasa dalam proses melahirkan, tisu perineum perlu berada dalam keadaan relaks, tidak tegang bagi membolehkan bayi melalui ruang vagina.
Apa kebaikan urutan perineum?
1. Tingkatkan tahap kebolehregangan perineum. Membantu aliran darah lebih baik dan meregang lebih mudah semasa kelahiran.
2. Mengurangkan risiko koyakan perineum yang lebih besar.
3. Membantu dalam proses kelahiran di mana otot perineum si ibu dapat meregang dan kurang koyakan perineum.
4. Kurang rasa sakit di bahagian perineum selepas melahirkan.
5. Membantu dalam kes ibu ada parut luka perineum sebelum ini atau perineum yang ‘keras’/rigid.
6. Semua ibu boleh mendapat manfaat daripada urutan ini.
Bila boleh mula urutan perineum?
Daripada 34 minggu dan ke atas.
Siapa yang boleh lakukan?
Anda atau suami boleh melakukan urutan ini.
Berapa lama?
Seberapa lama yang mahu, sekurang-kurangnya 5 minit satu sesi sudah memadai.
Waktu urutan?
Semasa atau selepas mandi. Anda lebih tenang dan relaks.
Guna apa?
Minyak organik, tanpa wangian seperti minyak zaitun, bunga matahari. Boleh juga guna gel tanpa haruman seperti gel air. Jangan gunakan minyak sintetik seperti ‘baby oil’ atau ‘petroleum jelly’. Pastikan jari dan tangan bersih dan kuku pendek sebelum bermula ya!
Posisi urutan perineum
1. Baring, lutut dibengkok dan disandar ke tepi (posisi buat ujian smear)
2. Baring dalam tub mandi dan kaki diangkat sebelah
3. Berdiri dengan kaki sebelah diangkat atas kerusi
4. Duduk di atas mangkuk tandas
Teknik urutan perineum
1. Berada dalam posisi dan keadaan yang selesa
2. Biasanya cermin mungkin diperlukan untuk beberapa urutan awal sehingga rasa mahir.
3. Satu atau kedua-dua ibu jari diletakkan di bahagian bawah pinggir bukaan vagina.
4. Perlahan-lahan urutan berbentuk “U” dilakukan ; tekanan daripada ibu jari ke dinding vagina ke arah lubang dubur
5. Lakukan urutan ke atas dan ke bawah berbentuk “U”
6. Ulang urut ikut suka, 5 minit setiap kali, minimum sehari sekali.
JANGAN BUAT URUTAN PERINEUM!
Jika ;
– Ada jangkitan herpes di vagina, ‘thrush’ atau keputihan akibat jangkitan fungus atau jangkitan lain
– Rasa sakit, mohon berhenti dulu dan cuba lain kali. Jika sakit berterusan, minta jumpa misi atau Dr untuk sebab sakit atau teknik.
…
“Menarik cadangan doktor. Asalkan boleh cuba kurangkan koyakan perineum, saya akan cuba buat,” senyumannya manis.
So boleh mulakan bagi yang sudah berusia kandungan 34 minggu ke atas. Jika tidak faham, boleh tonton video di Youtube ya!
Dapatkan kumpulan perkongsian cerita menarik berkaitan bidang kesihatan wanita di aimirahayu.com.
Nota : Kisah-kisah benar diolah dan diselit mesej yang sahih.
Follow | Like | Comment | Share untuk perkongsian dan cerita yang memberiTAHU dan memberi ILMU untuk kesihatan semua.
Media sosial :
FB : facebook.com/aimirahayuAR
Twitter : twitter.com/aimirahayuAR
Youtube : youtube.com/aimirahayuabdulrashid
Instagram : instagram.com/aimirahayuAR
FB Page : facebook.com/doktorbidan
Telegram : t.me/doktorbidan