skip to Main Content
Nasihat Buat Wanita Hamil Sulung 1 : Jangan Minum Air Selusuh

Nasihat Buat Wanita Hamil Sulung 1 : Jangan Minum Air Selusuh

“Cuba Puan beritahu saya mengenai tanda-tanda kelahiran.”

“Yang saya tahu, kontraksi rahim,… err..,”

“Baiklah, disebabkan Puan sudah sebut tentang kontraksi rahim, saya nak terangkan lebih lanjut pasal kontraksi.”

Ada dua jenis kontraksi rahim yang ada, Braxton Hicks dan kontraksi rahim yang sakit.

Braxton Hicks adalah kontraksi rahim yang tidak menyakitkan, lebih kepada rasa kurang selesa kerana rahim mengeras. Boleh dirasai seawal trimester pertama, namun kebanyakannya sewaktu trimester kedua atau ketiga. Jika ia berlaku, jangan panik, selagi tiada rasa sakit, ia tidak akan menyebabkan pangkal rahim membuka jalannya untuk kelahiran bayi.

Berlainan pula dengan kontraksi rahim yang menyakitkan. Selalunya untuk ‘first timer’ hamil ini, sakit kontraksi ini boleh bermula 3 hingga 4 hari sebelum kelahiran, jarang-jarang.

Semakin dekat waktu kelahiran, jika pada asalnya kontraksi sehari sekali, 2 jam sekali, sejam sekali, akhirnya makin kerap, sehingga menjadi 1 atau 2 kontraksi dalam masa 10 minit.

Bergantung kepada tahap kesakitan, wanita hamil sulung akan datang ke pusat rawatan bersalin untuk diperiksa. Ada kalanya sudah terbuka 2 hingga 3 cm pangkal rahimnya, ada mungkin masih tutup atau baru 1 cm.

Hampa!

Boleh balik rumah balik sementara menantikan tanda kelahiran ini semakin kerap. Namun, jika ada risiko lain dan sebagainya, doktor yang memeriksa akan memasukkan ke wad jika perlu.

Kontraksi rahim yang optimum adalah 3 hingga 4 dalam masa 10 minit. Ini efisien untuk membuka pangkal rahim.

Banyak kontraksi tidak semestinya efisien ya. Sebab itu tidak digalakkan minum air selusuh yang mengandungi bahan aktif meningkatkan kontraksi rahim.

Ya.

Inilah nasihat yang aku sering selit buat wanita hamil sulung apabila aku bercerita mengenai kontraksi rahim.

Cuba bayangkan begini. Kontraksi efisien adalah 3 hingga 4 sahaja dalam masa 10 minit. Banyak atau sedikit daripada itu tidak membantu membuka pangkal rahim secara efisien.

Ok, cuba bayangkan begini pula.

Jikalau kita berenang di dalam laut, kadar masa kita menyelam dan kembali ambil udara atas permukaan air adalah berkadar dengan kemampuan berenang dengan udara yang terkumpul tadi. Jika kita dipaksa berenang dan timbul dalam jangka masa yang sekejap dan cepat/banyak kali, mungkin lebih penat daripada biasa.

Begitu juga bayi di dalam kandungan.

Dijadikan Sang Pencipta, bayi berupaya mengharungi proses kelahiran dengan kontraksi rahim yang efisien untuk buka pangkal rahim (jika tiada masalah lain yang dikesan lebih awal semasa hamil atau mungkin berlaku semasa proses kelahiran), namun jika diminum air selusuh berbahan aktif tersebut, kadar kontraksi akan menjadi lebih kerap dan tidak efisien.

Pangkal rahim tidak buka, otot rahim kontraksi semakin banyak, bayi mungkin lemas atau menunjukkan tanda stress, wanita itu pula merasai sakit melampau dan berasa penat.

Jika otot rahim menjadi lemah dan tidak mengecut dengan baik selepas kelahiran, pendarahan berlebihan selepas bersalin boleh berlaku.

Pernah ada ketika, aku merasa pelik, kenapa kontraksi wanita ini begitu banyak, namun bukaan rahimnya tidak membesar, dia pula kelihatan amat sakit.

Terlintas aku berfikir, adakah dia minum air selusuh?

Wanita itu hanya mengiyakan, menunjukkan masih bersisa air selusuh di dalam botol 1.5 liter, tinggal setengah!

Jangan terkejut apabila berlaku hal ini, kesakitan melampau menyebabkan wanita hamil sulung seringkali akan meminta kepadaku sesuatu.

“Doktor, caesar jelah doktor, sakit sangat ni, jalan tak buka-buka lagi ni.”

Aish, sudah diminum setengah botol, mana taknya sakit melampau.

Panjang lebar aku ceritakan kepada wanita hamil sulung di klinik tadi. Moga-moga dia dan suami mengerti.

Apabila tiada pengalaman, mereka golongan paling ‘vulnerable’ menerima sahaja semua jenis nasihat daripada orang di sekeliling.

Lebih makan garam kan, tapi lebih makan garam, masinlah!

Nasihatku, pilih-pilih nasihat yang macam-macam ni, pilih yang sahih dan orang yang memberinya ada tauliah atas ilmu yang disampaikan.

Jangan tersalah langkah, yang mengandungnya awak!

#AimiGYN

#MedTweetMY

Dapatkan kumpulan perkongsian cerita menarik berkaitan bidang kesihatan wanita di aimirahayu.com.

Nota : Kisah-kisah benar diolah dan diselit mesej yang sahih.

Follow | Like | Comment | Share untuk perkongsian dan cerita yang memberiTAHU dan memberi ILMU untuk kesihatan semua.

Media sosial :
FB : Aimi Rahayu Abdul Rashid
Twitter : twitter.com/aimirahayuAR
Youtube : youtube.com/aimirahayuabdulrashid
Instagram : instagram.com/aimirahayuAR
FB Page : Aimi Rahayu AR OBGYN
Telegram : t.me/doktorbidan

This Post Has 0 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back To Top
×Close search
Search