Menipu LMP – Sepandai-pandai tupai melompat
“Puan rasa kalau menipu LMP ini kami tidak tahu ke?”
Dia terdiam.
“Bahaya kepada bayi ni Puan tidak fikir?”
“Saya tidak tahu boleh memberi kesan kepada bayi. Saya ingat kalau beritahu tarikh ini jadinya tidak perlu saya di’induce’. Kakak-kakak saya semua buat begini, tapi mereka bersalin kebanyakannya awal. Mak kami yang nasihatkan. Sebab dulu dia pun buat begitu masa mengandungkan kami adik beradik.
Ah, sudah! Generasi menurun nampak gayanya ni.
—
Seringkali di klinik atau pusat pemeriksaaan kecemasan ibu hamil, aku mengambil masa yang lebih panjang apabila bertemu pertama kalinya dengan wanita mengandung anak sulung.
Kenapa?
Golongan wanita ini sangat ‘receptive’ kepada semua nasihat yang diberikan oleh orang di sekeliling. Tiada pengalaman mengandung, ‘innocent’ orang kata. Maka, semua nasihat diterima daripada orang yang sudah bersalin ramai. Termasuklah Puan Ina.
Dia datang untuk membuat imbasan ‘dating scan’. Imbasan sewaktu kandungannya berusia 11 minggu.
Pemeriksaan dilakukan.
Di waktu ini ukuran bayi yang disebut ‘crown-rump length’ atau CRL diambil bagi memberikan tarikh EDD atau ‘estimated due date’. Ini penting bagi membantu perancangan dan penjagaan kehamilan Puan Ina diatur dengan baik. Tetapi hasil imbasan akhir kali ini membuat aku musykil.
‘Eh, kenapa tarikh lebih dua minggu?’ monolog dalam hati sambil aku mengulangi ukuran tadi.
Cukup tiga kali, ukuran CRL menunjukkan angka 13 minggu.
Dalam rekod, haid Puan Ina teratur dan LMPnya dicatat di kalendar, tidak mengambil sebarang alat perancang keluarga ketika itu dan tidak menyusukan. Jadi kenapa ada selang masa dua minggu?
Aku menyudahkan pemeriksaan
Kembalinya kami ke ruang klinik, aku menerangkan kembali hasil imbasan sona bunyi tadi. Tarikh EDDnya kami perlu anjak mengikut tarikh yang diberikan oleh imbasan kerana selang masa itu. Puan Ina termenung.
“Kenapa Puan?”
“Oh, saya ingatkan bila bagi tarikh haid hari pertama, doktor akan ikut sahaja. Tidak tahu pula bila buat imbasan, dan berbeza, lain jadinya.”
Sambungan daripada ayat Puan Ina selepas inilah yang buatku terkesima dan hampir gugur jantungku, ibarat ‘dropped beat’ pada ECG.
“Kalau ikutkan tarikh haid saya pada buku ‘pink’ tu sebenarnya saya lewatkan dua minggu doktor. Sebab saya takut nak kena ‘induce’.”
“Begitu ke Puan? Puan beritahu tarikh yang salah ketika buka buku pink dahulu ye?”
Aku selak satu-persatu helaian buku di hadapanku untuk kepastian.
“Patutnya saya tidak boleh beritahu doktor pasal ni, tapi terlepas cakap pula. Yelah tu, jadinya saya tidak akan dipaksa bersalin awal. Paksa bersalin kan sakit orang kata. Kalau saya lewatkan dua minggu, jadi lebihlah masa saya nak bersalin secara natural tanpa paksaan.”
Kalau dikira sebenarnya kandungan Puan Ina sudah mencapai 13 minggu, sama seperti keputusan imbasan.
“Puan rasa kalau menipu LMP ini kami tidak tahu ke?”
Dia terdiam.
“Bahaya kepada bayi ni Puan tidak fikirkan ada akibatnya?”
“Saya tidak tahu boleh memberi kesan kepada bayi. Saya ingat kalau beritahu tarikh ini jadinya tidak perlu saya di’induce’. Kakak-kakak saya semua buat begini, tapi mereka bersalin kebanyakannya awal. Mak kami yang nasihatkan. Sebab dulu dia pun buat begitu masa mengandungkan kami adik beradik.”
Ah, sudah! Generasi menurun nampak gayanya ni. Kalau menurun ilmu yang betul, tidak mengapa. Ini tidak.
“Puan, semasa imbasan ‘dating scan’ ini, kami akan mengambil kira keputusan imbasan dan tarikh yang Puan berikan. Jika ada perbezaan yang ketara, kami akan menggunakan tarikh EDD yang diberikan oleh imbasan kerana ia lebih tepat. Contoh apa yang berlaku kepada Puan sendiri, terdapat perbezaan bukan?”
Aku menyambung lagi.
“Apa kesan kepada bayi yang saya maksudkan? Andai kata Puan meneruskan kehamilan dengan tarikh lewat dua minggu, di hujung trimester ketiga, jika betul perkiraannya, jika Puan tidak bersalin secara natural, Puan akan di’induce’, jika ikut tarikh Puan beri, dan jika Puan tiada masalah kesihatan lain, tarikh ‘induce’ akan menjadi lewat hingga ke 42 minggu dan ini sememangnya berisiko kepada bayi di dalam kandungan. Risiko bayi mati di dalam kandungan semakin tinggi.”
“Sebenarnya tidak perlu takut kepada proses bersalin. Saya nasihatkan Puan sering bertanya kepada doktor ketika temujanji klinik dari semasa ke semasa tentang pelan kehamilan Puan. Lebih-lebih lagi Puan mengandung sulung, saya faham tentu Puan agak baru dalam isu ini.”
Puan Ina mengangguk. Harapnya tidak angguk kosong.
Nasihat sebegini haruslah dihindari. Bertanyalah dengan mereka yang bekerja dalam bidang ini, untuk kepastian.
Pesan saya jangan buat macam ini lagi. Pepatah ada menyebut sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga.
Dapatkan kumpulan perkongsian cerita menarik berkaitan bidang kesihatan wanita di aimirahayu.com.
Nota : Kisah-kisah benar diolah dan diselit mesej yang sahih.
Follow | Like | Comment | Share untuk perkongsian dan cerita yang memberiTAHU dan memberi ILMU untuk kesihatan semua.
Media sosial :
FB : facebook.com/aimirahayuAR
Twitter : twitter.com/aimirahayuAR
Youtube : youtube.com/aimirahayuabdulrashid
Instagram : instagram.com/aimirahayuAR
FB Page : facebook.com/doktorbidan
Telegram : t.me/doktorbidan