skip to Main Content
Kromosom XX Atau XY

Kromosom XX atau XY

Wujud lagi ye pemahaman sebegitu? Salahkan wanita kerana tidak berupaya memberikan zuriat berjantina yang diingini? Ini mesti ponteng kelas Sains Biologi ini dulu, tak pun tidur masa cikgu mengajar!

Monolog aku sendirian.

Aku menggaru kepalaku yang tidak gatal.

Aku duduk di kerusi sambil membaca nota pembentangan kelas atas talian.

Zaman-zaman COVID-19 ini, semua aspek kehidupan berevolusi. Norma baharu dibiasakan dan tidak lupa kelas bagi kami doktor perubatan.

Ilmu perlu sentiasa dikemaskini, jika tidak ketinggalanlah kami dalam memastikan penjagaan kesihatan pesakit tiptop grednya. Belajar sampai mati prinsip dipegang.

Masuk seorang wanita dengan lemah-lembutnya. Walau berbadan dua, aura kecantikan seseorang itu makin terserlah. Gayanya juga berkarisma. Ah, pembawakan anak perempuan barangkali! Aku mengagak. Ini firasat mengikut hati sahaja, bukan fakta! Ha!

“Selamat pagi Puan, sila duduk. Ini kali pertama Puan ke klinik ini ya?”

Aku berbasa-basi bagi memecahkan tembok perkenalan kami.

Kulihat dia tersenyum dan mengangguk.

Kali pertama kunjungan ke klinik, biasanya masa yang diambil digunakan untuk mendapatkan sejarah kesihatan diri, kehamilan terdahulu, komplikasi berkaitan dan menjawab segala persoalan yang diutarakan oleh pesakit. Apatah lagi semua maklumat perlu ditaip ke dalam komputer. Maklumlah sekarang zaman ‘paperless’.

Aku sedaya upaya menerangkan perkara berkaitan perjalanan prosedur di hospital kerana ini pengalaman pertama kali wanita ini di sini.

Namun ada satu kegusaran yang dapat aku telah daripada sinar matanya yang kuyu. Seakan ingin menanyakan soalan yang membelenggu hatinya saat ini.

Kami berubah tempat ke bilik ‘ultrasound’ bagi melihat perkembangan pembesaran bayinya.

Seperti biasa mulutku yang ramah bercerita satu-persatu apa yang aku imbas kepada semua pesakit. Daripada ukur lilit di kepala bayi, ukur lilit abdomen, panjang tulang betis dan air ketuban semua aku tunjuk mula ke akhirnya. Degupan jantung bayi, pergerakannya di dalam rahim, imbasan tali pusat adalah imbasan penutupku sebelum laporan dicetak.

Baru sahaja alat pengimbas ingin aku letakkan di tempatnya, wanita itu berkata, “Doktor, boleh tolong tengokkan bayi ‘boy’ ke ‘girl’ ye? Dah banyak kali saya scan tak dapat tahu lagi. Saya nak tahu kalau dapat lelaki, boleh saya bagitahu suami saya, mesti dia gembira doktor. Anak kami dah 5 orang semuanya perempuan.”

Suaranya seakan mengharap. Entah kenapa aku terasa bagai ada yang tidak kena.

“Mengimbas jantina bayi bukan suatu yang rutin kami lakukan di klinik Puan. Selalunya imbasan ini bukan 100% tepat. Saya tidah mahu dipersalahkan jika beritahu jantina yang berlainan daripada yang sebenarnya. Nak tahu yang tepat, memang kena tunggu bayi lahir, yang tu 100%,” aku cuba berseloroh sambil ‘probe’ imbasan aku larikan kembali ke abdomen wanita itu.

“Tidak mengapa doktor, doktor cubalah tengok kalau nampak. Saya berharap sangat lelaki. Suami saya lagilah doktor, dari tahun ke tahun menunggu anak lelaki. Katanya nak wariskan perniagaan. Sering kali saya disindirnya kerana anak perempuan juga yang keluar. Walhal anak-anak saya semuanya alhamdulilah baik dan mendengar kata, dari yang besar sampai ke yang paling kecil. Syukur dah saya.”

Wujud lagi ye pemahaman sebegitu? Salahkan wanita kerana tidak berupaya memberikan zuriat berjantina yang diingini? Ini mesti ponteng kelas Sains Biologi ini dulu, tak pun tidur masa cikgu mengajar!

Monolog aku sendirian.

Aku menggaru kepalaku yang tidak gatal.

Diam sambil tangan bekerja. Bayi pula malu nak tunjuk jantina kali ini. Nasiblah.

“Maaf Puan, ini kali pun tidak nampak, bayi pemalu ni. Lain kali kita cuba lagi boleh? Hmm… berkenaan jantina tu, mungkin Puan boleh berbincang balik dengan suami. Fahamkan dia yang kromosom jantina yang menentukan lelaki atau perempuan datangnya daripada suami tau. Kromosom wanita XX, lelaki XY. Kalau nak jadi lelaki, Y tu datangnya daripada suami.”

“Saya tahu doktor, dah bagitahu sebelum ni pun dia tak percaya. Lain kali kena bawa jumpa doktorlah kot ya, mana tahu dia lagi percaya.”

“Ok tu, bawalah suami Puan di temujanji seterusnya. Mana tahu terbuka hatinya tentang isu ini.”

Doa aku panjang hari ini. Harapnya wanita itu tidak terkesan emosinya mengenangkan isu jantina bayi yang dikandungnya.

Hairan! Kesihatan kandungan dan ibunya yang lebih utama diambil kira, bukan jantina.

Hairan bin ajaib!

#AimiGYN
#MedTweetMY

Nota : Kisah-kisah benar diolah dan diselit mesej yang sahih.

Follow | Like | Comment | Share untuk perkongsian dan cerita yang memberiTAHU dan memberi ILMU untuk kesihatan semua. 

Media sosial :
FB : facebook.com/aimirahayuAR
Twitter : twitter.com/aimirahayuAR
Youtube : youtube.com/aimirahayuabdulrashid
Instagram : instagram.com/aimirahayuAR
FB Page : facebook.com/doktorbidan
Telegram : t.me/doktorbidan

This Post Has 0 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back To Top
×Close search
Search