Kisah Tampon Yang Tidak Berjumpa Jalan Pulang
“Dah beberapa bulan ni saya ada masalah lendir faraj yang busuk. Berbau juga. Saya sudah pergi dapatkan pemeriksaan daripada klinik di kawasan rumah saya. Tak tahan gatal-gatal ni. Doktor bagi antibiotik untuk redakan, dan surat rujukan ini untuk saya datang jika masalah ini masih sama.”
Aku melihat kembali surat itu. Dua bulan.
Biasanya untuk masalah sebegini, sejarah kesihatan pesakit akan diambil. Fokus diberikan kepada aspek kesihatan ginekologi seperti kitaran haid, sejarah ujian pap smear, orientasi seksual dan sebagainya.
Seringkali aku memulakan perbualan ini dengan cermat, kerana takut andai disalaherti pesakit.
“Saya perlu tanya soalan ini bagi melengkapkan pemeriksaan saya,” ayat yang sering aku guna.
Boleh bayangkan soalan-soalan untuk sakit puan ada yang bersifat ‘intimate’ namun atas nama rawatan, kami perlu mendapatkan maklumat lengkap dan benar daripada pesakit. Sebab itulah aspek kerahsiaan pesakit amat dititikberatkan dalam bidang kedoktoran. Walau seramai mana yang berjaya kami rawat atas masalah-masalah yang mereka hadapi, tiada identiti yang dapat dipaparkan ke khalayak ramai.
Aku terhenti pada satu soalan tentang penggunaan tampon semasa haid. Didapati wanita di hadapanku ini tidak begitu menjaga kebersihan dan tidak menukar alat itu pada masanya. Dan ada kala dia juga boleh terlupa.
Parah ni!
Tiba masa untuk dilakukan pemeriksaan.
Gejala yang dihadapinya memerlukan aku melihat struktur di dalam faraj menggunakan spekulum (‘mulut itik orang biasa panggil’) dan mengambil sampel ‘swab’ daripadanya. Sampel itu perlu dihantar ke makmal bagi tujuan mengesan masalah jangkitan jika ada.
Dengan pelitup muka hijau menutup hidung dan mulut, aku laksanakan tugas ini dengan cermat. Namun aku terhenti apabila melihat objek pelik di bawah pangkal rahim.
‘Apa tu?’ Monolog aku sendiri dalam hati.
Dengan menggunakan ‘sponge forceps’, perlahan-lahan aku menarik objek tersebut keluar. Aku bersyukur ketika itu hidungku tersumbat, maka tidak dapat aku hidu bau objek berwarna coklat kehitaman itu. Kalau tidak, mungkin seminggu aku berpuasa kerana tidak lalu makan!
Sampel swab dan objek tersebut aku letak di dalam bekas berasingan untuk dihantar ke makmal.
Aku diam dan cuba menyusun kata-kata apabila kami kembali duduk berhadapan di meja klinik.
“Saya rasa masalah ini mungkin berpunca daripada tampon yang tertinggal di dalam faraj. Ingat tidak agak-agaknya bila mungkin terlupa nak keluarkan?”
Dia diam. Cuba mengingat kembali.
“Tidak ingatlah doktor, mungkin sudah lamalah itu. Saya sendiri tidak pasti.” Dia tersengih.
“Bila pakai tampon, perlu patuhi tatacara yang betul.”
Ini caranya jika hendak pakai tampon dengan selamat.
1.Guna secara ‘best practices’ – basuh tangan sebelum dan selepas memakai tampon walaupun sudah mahir menggunakan tampon sejak sekian lama.
2.Guna semasa haid sahaja dan guna seperti yang diarahkan.
3.Tukar tampon setiap 4 hingga 8 jam sekali. Jangan guna lebih daripada 8 jam.
4.Gunakan tampon dengan kadar serapan yang diperlukan sahaja. Jika memakai tampon selama 8 jam tanpa menukar, maknanya kadar serapan tampon tersebut adalah tinggi dan pemakaiannya adalah tidak sesuai untuk anda.
5.Gunakan pada ketika yang betul – jika mahu gunakan selama 8 jam atau lebih contohnya ketika tidur, digalakkan untuk guna pad biasa.
6.Awasi jika ada gejala yang terjadi semasa memakai tampon seperti sakit, lendir faraj yang busuk, gatal atau bertukar warna, demam beserta muntah-muntah, mahu pitam, pening atau ruam seperti kesan kulit dibakar matahari –> ini mungkin tanda sindrom kejutan toksik (toxic shock syndrome). Segera berjumpa doktor untuk pemeriksaan.
7.Jika ada alahan atau iritasi akibat pemakaian tampon, berhenti guna dan berjumpa doktor untuk pemeriksaan.
Konsultasi aku berakhir di situ dan temujanji aku berikan beserta rawatan susulan buatnya.
Harapnya tidak jadi lagi perkara sebegini di lain masa. Haru jadinya! Buat dia yang menjadi pesakit dan buat aku, doktor yang mengeluarkan tampon yang tertinggal buat sekian lamanya.
NOTA : Pakai tampon tidak salah, namun pakailah dengan cermat.
Penafian : Penulisan ini sama sekali tidak berniat menakutkan wanita untuk memakai tampon, sekadar berkongsi kisah benar yang berlaku seterusnya mengingatkan tatacara pemakaian yang selamat di akhir penulisan.
Kita tak perlu takut apa yang kita tahu.

Dapatkan kumpulan perkongsian cerita menarik berkaitan bidang kesihatan wanita di aimirahayu.com.
Nota : Kisah-kisah benar diolah dan diselit mesej yang sahih.
Follow | Like | Comment | Share untuk perkongsian dan cerita yang memberiTAHU dan memberi ILMU untuk kesihatan semua.
Media sosial :
FB : facebook.com/aimirahayuAR
Twitter : twitter.com/aimirahayuAR
Youtube : youtube.com/aimirahayuabdulrashid
Instagram : instagram.com/aimirahayuAR
FB Page : facebook.com/doktorbidan
Telegram : t.me/doktorbidan