Kehadiranmu tidak diingini
“Kami dulu ingat nak merancang sendiri je, sebab takut hormon tak sesuai dengan badan saya. Tak tahu pulak sangkut kali ni, macam mana doktor? Boleh ke?”
Berat masalah ni, bukan senang-senang nak kami tunaikan permintaan dia. Melibatkan nyawa yang tidak berdosa.
Kalau hari tu ikut saranan kami untuk merancang bukankah lebih baik?
—
Stigma merancang keluarga sudah acapkali aku dengar.
Cubalah Google tengok berapa banyak status, komen dan coretan netizen. Di Facebook, status seperti ‘anak baru tiga bulan, tapi ujian kehamilan dah dua garisan dah ni, sis takut doktor marah, hari tu pulak cser, macam mana ek? Jangan kecam sis!’
Eh, kenapa tulis jangan kecam? Ada buat salah ke?
Mengandung tak salah, kalau dah mengandung pun kami petugas perubatan sama sekali tidak akan menyuruh anda untuk menggugurkan kandungan kalau pun dah mengandung dalam jarak yang dekat dengan kelahiran sebelumnya.
Tahu tak, dalam Islam, haram menggugurkan kandungan. (rujuk artikel di sini https://www.muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/663-al-kafi-659-hukum-gugurkan-janin-bagi-wanita-yang-sibuk-berkerja).
Firman Allah S.W.T:
وَلَا تَقْتُلُوا أَوْلَادَكُمْ خَشْيَةَ إِمْلَاقٍ ۖ نَّحْنُ نَرْزُقُهُمْ وَإِيَّاكُمْ ۚ إِنَّ قَتْلَهُمْ كَانَ خِطْئًا كَبِيرًا
Surah Al-Isra’ (31)
Maksudnya: Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepada kefakiran. Kami yang memberi rezeki kepada mereka (anak-anak) dan kepada kamu. Sesungguhnya membunuh mereka (anak-anak) itu adalah satu kesalahan yang besar.
Di negara kita, undang-undang ENAKMEN 3 TAHUN 1995,
ENAKMEN KESALAHAN JENAYAH SYARIAH 1995, BAHAGIAN IV – KESALAHAN, Seksyen 85. Menggugurkan atau membunuh kandungan menerangkan ;
‘Sesiapa dengan sengaja melakukan apa-apa perbuatan dengan niat untuk menggugurkan atau membunuh kandungan sama ada hasil dari pernikahan yang sah atau dari persetubuhan luar nikah, kecuali perbuatan Pegawai Perubatan Kerajaan sebagai perlu dan tidak boleh dielakkan kerana ia akan memudaratkan perempuan yang mengandung itu, adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.’
Isu di sini lebih kepada isu menggugurkan kandungan tanpa sebab.
Ok. Berbalik kepada cerita aku ni.
—
Baru tiga bulan Maria selamat melahirkan anak ketiganya melalui kaedah pembedahan caesarean. Indikasi pembedahan tersebut ialah pembedahan ulangan selepas 2 pembedahan sebelumnya.
Alhamdulilah pembedahan berjalan dengan lancar, bayi dan ibu sihat semuanya.
Seperti biasa, satu aspek yang kami pasti akan bincangkan dengan si ibu sebelum dibenarkan keluar ialah perancang keluarga.
Aspek ini dilihat sangat penting bukan sahaja untuk Maria, tetapi untuk semua wanita yang berusia dalam lingkungan
usia reproduktif, boleh mengandung dan melahirkan anak jika aktif berhubungan seksual. Namun konsep perancang keluarga ini dilihat taboo oleh masyarakat kita.
“Ah, merancang sendiri je la, mak dulu tak payah merancang-merancang pun, anak ramai bukan ke murah rezeki?”
“Kau tak takut ke hormon tu buatkan kau gemuk. Ha, nanti suami kau lari jangan salahkan aku. Dah nasihat tak nak dengar?”
Klise? Inilah realiti.
Ketakutan dek kurangnya pengetahuan dalam memahami isu perancang keluarga.
Maria pun sama, selepas diberikan penerangan oleh kami, dia hanya mengangguk, katanya mahu berbincang balik dengan suaminya. Kami berikan temujanji 6 minggu akan datang untuk kembali ke klinik untuk berbincang tentang perkara yang sama.
Keputusan masih tidak dapat dicapai pada temujanji 6 minggu itu. Kami tertanya-tanya masih kurangkah kefahaman atau Maria tidak mahu.
Katanya dia tahu kerana semasa kehamilan-kehamilan sebelumnya lagi KK kunjungannya saban bulan sudah memberikan banyak informasi mengenai konsep perancang keluarga. Diri sendiri sahaja masih kurang yakin.
Dan akhirnya kami mendapat jawapan daripada mulut suami Maria.
“Kami nak merancang sendiri sahaja doktor, tak nak guna hormon ni.”
“Saya nasihatkan untuk penggunaan kaedah peracang keluarga yang lebih baik Tuan. Bukan apa, Puan Maria sudah tiga kali pembedahan caesarean, untuk kehamilan seterusnya, jarak kehamilan sekurang-kurangnya 2 tahun lebih baik. Ada banyak risiko jika mengandung dalam jarak masa yang dekat.”
Aku rekodkan hasil perbincangan ini dalam nota pesakit kerana ia penting untuk menunjukkan penerangan dan perbincangan sudah berlaku walaupun di akhirnya kukira, kata putus mereka masih sama.
Tau tak apa yang kami khuatiri berlaku jika tidak mengamalkan kaedah perancang keluarga yang baik?
Kehamilan yang tidak diingini.
Ya, bukan semua orang hamil akan terima berita kehamilan dengan baik. Tidak kira yang sudah berkahwin atau tidak.
Kehamilan, ada yang dirancang, ada yang tidak namun diterima dengan hati terbuka. Yang ditakuti ialah kehamilan yang tidak dirancang DAN tidak diingini.
Secara kasarnya, 41% kehamilan yang berlaku ialah kehamilan tidak diingini. Di Asia sahaja kadarnya bersamaan 38%.
Kenapa ini berlaku? Salah satu sebab ialah tidak menggunakan kaedah perancang keluarga. Jika ada yang guna pun tidak digunakan mengikut tatacara amalan yang betul.
Apa kesannya kehamilan yang tidak diingini? 3 kesan. Dalam 213 juta kehamilan (2012), 40% adalah kehamilan yang tidak diingini. 50% bertindak menggugurkan, hanya 13% keguguran dan selebihnya adalah kelahiran bayi. Ini adalah statistik global.
Jika kita samakan statistik ini dalam konteks negara kita, 30 juta populasi (2014), di mana 8 juta adalah golongan usia reproduktif, kadar pengguguran kandungan di Malaysia setahun ialah 224 000. Ini bersamaan 600 pengguguran sehari dan 25 sejam!
Tahun 2020 pula bagaimana?
Apa yang ditakuti kesan tingginya kadar pengguguran kandungan ini?
Kadar kematian ibu meningkat.
Kalau pun kehamilan yang tidak diingini ini dibawa sampai ke hujungnya, apa yang boleh berlaku?
Peningkatan kadar kes pembuangan bayi. Nampak tak?
—
Maria berlalu pergi dari klinik tanpa menoleh ke belakang. Aku hanya merenung kosong dan berdoa agar mereka dilembutkan hati untuk menerima penerangan yang diberikan tadi. Demi kebaikan mereka.
3 bulan berlalu.
“Doktor, boleh kami gugurkan kandungan ni?”
“Kami dah bincang berdua dan nak teruskan gugurkan kandungan sebab mengandung dekat sangat dengan yang baru ni baru 3 bulan, isteri saya pun tidak berapa kuat lagi selepas pembedahan hari tu. Ni pun dia tidak ada selera makan, susut dah ni. Saya risau dia tak boleh nak teruskan. Luka bedah pun baru nak baik.”
Ekspresi aku berubah. Inikah tujuan mereka datang kembali ke klinik?
“Selepas balik dari klinik hari tu, memang terus tak pakai apa-apa kaedah merancang keluarga ke?”
Sengaja aku memancing lagi cerita daripada mereka.
“Kami dulu ingat nak merancang sendiri je, sebab takut hormon tak sesuai dengan badan saya. Tak tahu pulak sangkut kali ni, macam mana doktor? Boleh ke?”
Aku tersenyum kelat.
Berat masalah ni, bukan senang-senang nak kami tunaikan permintaan dia. Melibatkan nyawa yang tidak berdosa.
Kalau hari tu ikut saranan kami untuk merancang bukankah lebih baik?
Aku berbincang panjang lebar dengan mereka. Berharap mereka akan mengubah keputusan itu.
—
Ini situasi yang sebenar berlaku. Bukan rekaan. Apa yang terjadi selepas itu biar disimpan dalam lipatan memori aku sebagai seorang doktor dalam bidang ini.
Kami sedaya –upaya memberikan penerangan tentang konsep perancang keluarga, kebaikan, kaedah dan sebagainya.
Kami mohon jika ada sebarang persoalan yang terbit, ajukan kepada kami petugas perubatan.
Jauhilah khabar angin, khabar tahyul, khabar basi, khabar momokan yang tersebar luas di angkasaraya MukaBuku, Twitter, Google dan sebagainya.
Khabar bawa mulut daripada jiran tetangga, sepupu sepapat, kawan pejabat pun elakkan.
Yang negatif memang senang tersebar. Yang positif walaupun lebih banyak bilangannya, tidak sensasi,, maka tidak banyak diketahui.
Duduk berbincang dengan doktor anda kan lebih mudah.
“Every pregnancy should be planned, intended and loved”.
Rujukan : http://www.mmasavinglives.my/ , https://www.muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/663-al-kafi-659-hukum-gugurkan-janin-bagi-wanita-yang-sibuk-berkerja
Kredit gambar : https://www.flickr.com/photos/byneilhall/33757931808
Nota artikel : Ini kali pertama saya menulis lebih 1000 patah perkataan dalam satu duduk sahaja. Saya rasa gembira untuk diri sendiri, kerana menulis untuk anda sebanyak ini. Selain menulis satu artikel sehari, saya juga cuba untuk menulis 1000 patah perkataan juga. Alhamdulilah , hari ini sekali dah tercapai.
Dapatkan kumpulan perkongsian cerita menarik berkaitan bidang kesihatan wanita di aimirahayu.com.
Nota : Kisah-kisah benar diolah dan diselit mesej yang sahih.
Follow | Like | Comment | Share untuk perkongsian dan cerita yang memberiTAHU dan memberi ILMU untuk kesihatan semua.
Media sosial :
FB : facebook.com/aimirahayuAR
Twitter : twitter.com/aimirahayuAR
Youtube : youtube.com/aimirahayuabdulrashid
Instagram : instagram.com/aimirahayuAR
FB Page : facebook.com/doktorbidan
Telegram : t.me/doktorbidan