skip to Main Content
Ini Supplemen Untuk Ibu Hamil

Ini Supplemen Untuk Ibu Hamil

“Doktor, sana sini saya tengok lalu-lalang di FB orang ‘promote’ supplemen tambahan semasa mengandung ni. Kawan saya pun dah bagi ‘free sample’ suruh saya makan tengok macam mana. Katanya bagus untuk perkembangan otak bayi di dalam kandungan saya ni. Camne doktor? Boleh ke saya makan?”

Aku memandang mukanya. Jauh aku fikir. Apa jawapan yang paling sesuai nak diberikan kepada bakal ibu muda ini?

Sudah aku susun molek-molek ayat baru aku bersuara.

“Nak makan ‘extra’ supplemen atas risiko sendiri. Nak tahu tak apa supplemen yang doktor akan ‘prescribe’ untuk wanita hamil makan (pada masa, ketika, individu, dos, indikasi yang betul)? Meh saya bagitahu.”

Ada tiga sahaja yang saya nak senaraikan di sini. Baca betul-betul. Sebab kalau bukan supplemen yang disenaraikan, hanya dengan saranan doktor anda sahaja.

Ini yang kebiasaan sahaja. ‘Common’ yang disyorkan doktor di klinik, bukan penjual supplemen.

Apa yang diutamakan ialah apa keperluan wanita hamil mengambil sebarang supplemen yang disyorkan, bukan hanya ambil, tangkap masuk mulut sahaja.

1.Asid folik

Ini yang seringkali wanita lupa. Sebab ramai yang tidak merancang kehamilan dari awal.

Apakah maksud merancang kehamilan?

Ia tidak hanya melibatkan komponen menggunakan alat perancang keluarga, bahkan lebih luas lagi cakupan konsep ini meliputi pengambilan tablet asid folik 3 bulan sebelum mula mengandung dan tiga bulan awal kandungan (sehingga 12 minggu), memastikan kesihatan berada pada keadaan optimum, mengambil ubat-ubatan atas masalah kesihatan yang dibolehkan semasa hamil dan sebagainya.

Sebaiknya untuk tujuan ini, wanita yang ingin mula hamil disyorkan ke klinik pra-kehamilan bagi memastikan mereka bersedia untuk hamil.

Kehamilan akan menjadi berisiko tinggi apabila wanita hamil dan pada masa yang sama mereka tidak mengawal kencing manis dengan baik, tekanan darah tinggi yang juga tidak terkawal dek kerana tidak memakan ubat-ubatan pada masanya. Ini sangat bahaya.

Kesimpulannya, rancanglah kehamilan anda.

Makan asid folik sama sekali tidak menyebabkan anda menjadi lebih subur ya.

Ini mitos yang tidak benar.

Fungsi asid folik ialah mencegah kecacatan tiub saraf bayi yang boleh berlaku seperti spina bifida. Ia satu cara yang mudah dan murah bagi tujuan risiko kecacatan bayi ini.

Asid folik boleh dibeli dengan harga yang murah di farmasi.

2. 4 serangkai dari KK / supplemen pengganti yang seumpama 4 serangkai (atas syor doktor)

Setelah habis 12 minggu, kebiasaannya KK akan memberikan supplemen 4 serangkai/sekawan kepada ibu hamil. Tentu pernah lihat kan? Ha, makan yang itulah. Cuba senaraikan apa 4 serangkai tu.

Apa yang perlu diambil selain supplemen tambahan ini? Ini soalan tambahan yang selalu wanita hamil tanya.

Makanan dari gizi/diet yang sihat. Suku-suku separuh, piramid makanan, porsi yang sesuai dengan situasi kehamilan perlu dikenalpasti. Contoh bagi mereka yang mempunyai masalah kencing manis semasa hamil, ikuti nasihat pakar pemakanan (dietician) bagi mengawal kadar gula dalam darah.

Jika perlu makan ubat kencing manis atau mengambil suntikan insulin, ikuti nasihat doktor, kerana jika tidak dikawal kadar gula itu akan mendatangkan komplikasi bukan sahaja kepada ibu malahan kepada bayi.

3. Supplemen tambahan atas indikasi tertentu atas syor doktor yang merawat wanita hamil.

Ok. Fahami maksud indikasi. Contoh :

Puan Ani mengandung kali ketiga ketika bayi keduanya baru lahir 6 bulan yang lepas. Masalah yang dihadapi berulangkali ketika dia mengandung ialah kurang darah merah. Oleh itu, atas syor doktor, dia perlu mengambil supplemen tambahan zat besi.

Bukan sahaja perlu ambil, Puan Ani perlu mengikuti amalan pemakanan yang membantu menaikkan aras darah merahnya juga. Cara makan tablet zat besi juga perlu diikuti. Yang ini biasanya akan diberikan konsultasi khas di klinik.

Jadi untuk soalan di atas apa kesimpulan terbaik yang dapat dibuat?

Jawapannya ada di atas.

#AimiGYN
#MedTweetMY

Dapatkan kumpulan perkongsian cerita menarik berkaitan bidang kesihatan wanita di aimirahayu.com.

Nota : Kisah-kisah benar diolah dan diselit mesej yang sahih.

Follow | Like | Comment | Share untuk perkongsian dan cerita yang memberiTAHU dan memberi ILMU untuk kesihatan semua. 

Media sosial :
FB : facebook.com/aimirahayuAR
Twitter : twitter.com/aimirahayuAR
Youtube : youtube.com/aimirahayuabdulrashid
Instagram : instagram.com/aimirahayuAR
FB Page : facebook.com/doktorbidan
Telegram : t.me/doktorbidan

This Post Has 0 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back To Top
×Close search
Search