skip to Main Content
Ia Satu Nikmat

Ia satu nikmat

Bukan mudah sebenarnya apabila berita yang ingin disampaikan kepada si ibu tentang anak di dalam kandungan.

“Puan, saya minta maaf kerana saya cuba mencari degupan jantung bayi namun kemungkinan besar tidak jumpa kali ini.”

“Maknanya apa doktor?” pecah suaranya dengan terjunan air mata.

Ada yang dapat merasa, dan bergemalah tangisan di dalam bilik pemeriksaan itu pada suatu malam.

Hari ini oncall lagi. Dua malam yang lepas punya cerita ini. Bukan malam ni, malam ini aku berkeringat memerah idea cerita untuk disimpan dalam bank ceritaku.

Sudah mula kena menyimpan supaya aku punya cerita tidak putus bekalannya. Buatnya kering kontang ideaku satu-satu ketika, mahu terputus cabaran ‘A story a day’ aku. Setakat ni sudah 14 hari hatrik. Ihiks!

Oncall kali ini aku bertugas menjaga bilik kecemasan untuk hal-hal berkaitan kehamilan.

Zaman-zaman COVID-19 ini, kami kena pakai baju PPE lengkap semasa berjumpa biasa. Nasib baiklah tempat pemeriksaan ini punya penghawa dingin, nyaman sedikit diselubungi baju PPE.

Ziana datang dengan suami, dia dibawa masuk untuk pemeriksaan.

“Puan, boleh beritahu apa yang terjadi yang menyebabkan Puan datang untuk pemeriksaan?”

“Sejak 7 hari yang lepas, ada pendarahan, kadang ada kadang tiada. Sedikit-sedikit, adalah dalam 1/3 ‘pantyliner’. Sakit-sakit juga di bawah ini,” dia menunjukkan kepadaku tempat kesakitan mencengkam tidak kira masa.

Pendarahan dipastikan tidak banyak lagi dan imbasan segera dilakukan.

Kalau diikutikan usia kandungan, sudah mendekati 16 minggu, namun imbasan dan ukuran menunjukkan baru 9 minggu.

Aku mula menegakkan badan dan meneliti skrin imbasan di hadapanku.

Ukuran ‘crown-rump length’ (CRL) dan ‘mean sac diameter’ (MSD) dibuat. Kecil juga. Degupan jantung juga tiada.

“Puan, saya minta maaf kerana saya cuba mencari degupan jantung bayi namun kemungkinan besar tidak jumpa kali ini.”

“Maknanya apa doktor?” pecah suaranya dengan terjunan air mata.

Ada yang dapat merasa, dan bergemalah tangisan di dalam bilik pemeriksaan itu pada suatu malam.

Menunggu reda tangisan kerana aku yakin masa yang diperlukan untuk bertenang ketika itu. Maklumlah ini kandungan yang dinantikan setelah sekian lama.

Penerangan lanjut aku berikan dengan menunjukkan satu persatu dapatan imbasan sebentar tadi. Untuk situasi seperti ini, kebiasaannya perlu imbasan kali kedua 1 hingga 2 minggu lagi bagi mengesahkan situasi kandungan kali ini.

Temujanji ditetapkan dan dia berlalu pergi dipimpin suami yang setia menunggu.

Walau di sudut hati aku tahu Ziana pilu, namun dia kuat sebenarnya. Seketika berada di bilik pemeriksaan meyakinkan aku tentang itu.

Jika benar ia telah pergi, sesungguhnya ia adalah rezeki Ziana untuk merasai walau seketika kehadiran kandungan di dalam rahimnya.

Baginya ia satu nikmat yang besar kurnia Yang Esa.

#AimiGYN
#MedTweetMY

Dapatkan kumpulan perkongsian cerita menarik berkaitan bidang kesihatan wanita di aimirahayu.com.

Nota : Kisah-kisah benar diolah dan diselit mesej yang sahih.

Follow | Like | Comment | Share untuk perkongsian dan cerita yang memberiTAHU dan memberi ILMU untuk kesihatan semua. 

Media sosial :
FB : facebook.com/aimirahayuAR
Twitter : twitter.com/aimirahayuAR
Youtube : youtube.com/aimirahayuabdulrashid
Instagram : instagram.com/aimirahayuAR
FB Page : facebook.com/doktorbidan
Telegram : t.me/doktorbidan

This Post Has 0 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back To Top
×Close search
Search