skip to Main Content
Hari Tidak Semestinya Indah

Hari Tidak Semestinya Indah

“Oh, saya tidak buat episiotomi tadi, ia bukan rutin untuk semua kelahiran pertama.”

Mereka diam berfikir.

Kukira dalam hati mereka tidak putus berdoa anak mereka akan selamat dan berjaya menempuh dugaan yang melanda ini.

“Saya akan ‘update’ dari semasa ke semasa, insyaAllah. Anak Tuan sudah dihantar ke unit rawatan rapi untuk pemantauan seterusnya.”

Kehamilan dan kelahiran adalah satu proses agung bagi mendapatkan zuriat.

Selama 9 bulan usia kandungan, pelbagai bentuk perubahan fisiologi, emosi dan fizikal dialami wanita bagi membolehkan bayi membesar dengan jayanya.

Kebiasaannya setiap kandungan akan diberikan tag warna ketika buku ‘pink’ dibuka – putih, hijau, kuning dan merah. Ini berkait rapat dengan tahap risiko kehamilan samada rendah dan tinggi.

Kelahiran pula adalah bersifat pertarungan antara hidup dan mati orang kata.

Bila-bila masa sahaja akan bertukar daripada tiada apa-apa kepada kecemasan di mana langkah terbaik perlu dilakukan bagi memastikan anak selamat dilahirkan dan ibunya baik-baik sahaja.

Bagi petugas perubatan, saat mengendalikan kelahiran tidak mudah. Mental dan fizikal. Mental kerana bermain dengan emosi, perlu membuat keputusan cepat semasa situasi berlaku dan cekap melakukan tindakan.

Fizikal pula melibatkan kekuatan membantu proses kelahiran. Ada ketika ibu sudah penat meneran atau dikesan bayi perlu bantuan untuk dilahirkan, maka perlu digunakan alatan ‘vacuum’ dan ‘forceps’. Kudrat digunakan dengan seoptimumnya bagi memudahkan kelahiran itu berlaku.

Kelahiran yang tidak mengira masa siang atau malam, jika perlu dilahirkan secara pembedahan caesarean juga perlu dilakukan ketika waktu itu tanpa berlengah.

Oh stamina!

Dalam durasi kehamilan dan kelahiran, kami perlu mengawal risiko yang telah dikenalpasti agar komplikasi dan situasi kecemasan dapat dikurangkan. Namun, ia boleh terjadi kepada mana-mana individu hatta yang berisiko rendah sekali pun.

Apa yang terjadi kepada Mira adalah satu situasi komplikasi selepas bersalin, di mana aku pun tidak menyangka sampai begitu kejadiannya.

Mira seorang wanita berusia 20-an, yang hamil anak pertama. Kandungan dikategorikan berisiko rendah dan alhamdulilah masa 9 bulan adalah masa yang sangat berharga yang dilaluinya bersama suami dan keluarga.

Tiba masa untuk melahirkan.

“Ok Puan, saya nak Puan teran seperti yang saya beritahu ini ya. Rasa sahaja kontraksi semakin kuat, Puan tarik nafas dalam-dalam, tutup mulut, dagu atas dada dan teran kuat di bawah seperti hendak membuang air besar sembelit. Kami akan bantu Puan.”

Berbekalkan sokongan suami di sisi dan usaha dan cara Mira meneran dengan baik, alhamdulilah seorang lagi khalifah berjaya dilahirkan ke muka bumi ini. Untuk kelahiran pertama, ini dikira kelahiran yang mudah juga, rezeki Mira.

Proses kelahiran uri diteruskan. Selepas itu, aku mula musykil, kerana nampak pendarahan tidak berhenti mengalir berdikit-dikit turunnya daripada pangkal rahimnya. Satu lagi, ada ketulan berisi darah yang kelihatan di dinding vagina.

Untuk situasi begini, resusitasi segera dilakukan dan aku memanggil pakar untuk datang segera. Pemeriksaan awal mendapat ketulan itu semakin membesar, pendarahan yang berterusan daripada dalam rahim akibat kegagalannya untuk mengecut dengan baik walaupun diberikan bantuan ubat.

Mira perlu segera dibawa ke bilik pembedahan!

Persediaan dibuat, penerangan lengkap diberikan kepada suami dan Mira dan persetujuan ditandatangani di borang rasmi hospital.

Dalam situasi sebegini, aku amat menitikberatkan soal ini kerana pesakit dan warisnya berhak tahu apa yang sedang berlaku agar tiada salah faham di masa hadapan. Lebih-lebih lagi untuk si suami yang tentunya terkejut dengan situasi ketika itu, sementelahan mereka bukan daripada latarbelakang perubatan, tentunya perkara seperti ini menjadi igauan buruk jika tidak diterangkan dengan baik.

“Baiklah doktor, buatlah yang terbaik untuk isteri saya, mudah-mudahan selamat semuanya,” aku mendengar dengan baik harapan sang suami untuk isterinya. Kami pun mahukan yang sama.

Misi seterusnya ketika berada di bilik pembedahan. Pendarahan makin banyak.
Kehadiran kami di situ dibantu oleh pasukan bius.

Mira diberikan ubat tidur supaya prosedur rawatan kepadanya dapat dijalankan dengan baik.

Peluhku merecik dalam kedinginan hawa dingin bilik pembedahan, tahap tekananku naik ketika itu apabila berhadapan kes-kes sebegini. Namun kerjasama petugas perubatan berjaya mengatasi masalah bersama dan Mira berjaya diberhentikan pendarahannya.

Syukur alhamdulilah.

Unit rawatan rapi akan menjadi tempat Mira dipantau buat seketika kerana pendarahan yang banyak telah berlaku. Aku dan doktor pakar meninggalkan tempat itu setelah dipastikan kerja kami telah selesai. Nanti akan dibuat ‘ward round’ kepada Mira selepas dipindahkan ke unit rawatan rapi.

Aku kembali ke wad untuk meneruskan tugas atas panggilanku.

Dari jauh ternampak suami Mira beserta dua orang lain yang kelihatan resah. Aku kira keluarga mereka mungkin. Aku mendekati mereka untuk memberitahu perkembangan kini Mira yang akan dipantau di unit rawatan rapi.

“Alhamdulilah, pendarahan berjaya diberhentikan tadi, Puan Mira juga stabil. Kami mengesan ada ‘haematoma’ selepas bersalin selain rahimnya tidak mengecut dengan baik. Setelah intervensi dilakukan, kami juga masukkan ‘Bakri Balloon’ untuk mengawal pendarahan.”

Aku menjawab dengan tenang satu persatu persoalan mereka. Tentunya mereka juga terkejut perkara sebegini terjadi.

Sampailah satu soalan daripada ayah mertua Mira mengenai episiotomi.

“Oh, saya tidak buat episiotomi tadi, ia bukan rutin untuk semua kelahiran pertama.”

Mereka diam berfikir.

Kukira dalam hati mereka tidak putus berdoa anak mereka akan selamat dan berjaya menempuh dugaan yang melanda ini.

“Saya akan ‘update’ dari semasa ke semasa, insyaAllah. Anak Tuan sudah dihantar ke unit rawatan rapi untuk pemantauan seterusnya.”

Ini bukan kisah untuk menakutkan. Jauh sekali merisaukan ibu-ibu yang sedang hamil.

Ini hanya satu contoh daripada banyak kisah lain yang menunjukkan bila-bila masa sahaja proses kelahiran akan bertukar daripada tiada apa-apa kepada kecemasan di mana langkah terbaik perlu dilakukan bagi memastikan anak selamat dilahirkan dan ibunya baik-baik sahaja.

Kepercayaan kepada kami petugas perubatan bagi menyelamatkan ibu dan anak diperlukan dan sangat dihargai.

Kami mahukan hanya yang terbaik untuk anda.

#AimiGYN
#MedTweetMY

Dapatkan kumpulan perkongsian cerita menarik berkaitan bidang kesihatan wanita di aimirahayu.com.

Nota : Kisah-kisah benar diolah dan diselit mesej yang sahih.

Follow | Like | Comment | Share untuk perkongsian dan cerita yang memberiTAHU dan memberi ILMU untuk kesihatan semua. 

Media sosial :
FB : facebook.com/aimirahayuAR
Twitter : twitter.com/aimirahayuAR
Youtube : youtube.com/aimirahayuabdulrashid
Instagram : instagram.com/aimirahayuAR
FB Page : facebook.com/doktorbidan
Telegram : t.me/doktorbidan

This Post Has 0 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back To Top
×Close search
Search