Hargailah yang dinantikan sekian lama
Ya, anak mereka sumbing.
Wajah si ibu sudah berubah, si ayah terus bertanya, “Keluarga awak ada yang lahir sumbing ke? Keluarga saya rasanya tiada.”
Suami bertanya, tanpa mimik muka.
Cerita ini adalah cerita satu dalam seribu mungkin. Aku ceritakan buat pengajaran.
…
Seperti biasa klinik antenatal sangat sibuk hari ini.
Bukanlah semalam tidak sibuk tetapi tidak tahu mengapa satu gelombang pesakit akan datang ke hospital pada hari Rabu kerana hari ini hari klinik feto-maternal, klinik khas wanita hamil berisiko tinggi.
“Zaman COVID-19 ini pun ramai juga ya yang datang dengan buku pink?”
Kura-kura dalam perahu.
“Zaman COVID-19lah ramai orang hamil doktor, saya jangkakan ‘baby boom’ hujung tahun ni tau,” jururawat di klinikku menelah, macam ahli nujum pula dah dengarnya.
Aku tergelak kecil.
Bilik ultrasound khas kami berada di ruang belakang klinik, aku jenguk kerana dipanggil oleh juruimbas yang sedang melakukan imbasan ultrasound kepada seorang wanita.
Turut menemani di sebelah, sang suami yang kulihat teruja ingin melihat imbasan bayinya.
Aku memperkenalkan diri.
Wanita itu kelihatan tenang dan selesa berada di atas katil imbasan. Mataku terus terarah ke skrin monitor dan melihat imbasan bayi satu-persatu. Minatku terhadap bidang imbasan bayi memahat pandanganku pada hitam putihnya warna cantuman garisan dan frekuensi menghasilkan sona bunyi.
Buku pink kuselak, kukira-kira sudah 23 minggu umur kandungan wanita ini sekarang. Anak kedua. Yang dinanti-nantikan setelah 7 tahun kembali mencuba untuk hamil kembali.
“Doktor, cuba tengok ni.”
Aku cuba menangkap maksud kata-kata Rina. Pandanganku fokus kepada bentuk mulut si bayi. Ada garisan putus di tengah. Adakah benar apa yang kulihat?
Juruimbas mengambil gambar sudut mulut yang berlubang itu beberapa kali. Kami cuba memastikan hasil imbasan ini adalah betul dan mempunyai gambar untuk perbincangan selepas ini.
Untuk kes-kes sebegini, doktor harus memberitahu kepada pesakit dan pasangan mereka dengan berhati-hati, proses ini bukan sahaja boleh memberikan kejutan dan tekanan kepada mereka, petugas kesihatan juga perlu pandai mengawal emosi walau sedih dan terkesan mana perasaan mereka atas satu-satu situasi yang berlaku kepada pesakit mereka. Empati.
Ia bukan situasi yang mudah.
Aku menelan air liur yang terasa kering. Cuba menyusun ayat yang kurasa mampu aku utarakan kepada pasangan yang setia menunggu dengan muka bercahaya.
Kulihat di depanku wajah ibubapa yang mengharapkan yang terbaik untuk anak yang dinanti-nantikan. Walau seisi dunia cagarannya.
“Puan, saya ingin memberitahu satu perkara berkenaan bayi di dalam kandungan Puan ini. Puan lihat di sini ya,” aku menunjukkan bahagian mulut bayi tersebut kepada ibu dan ayahnya.
Ya, anak mereka sumbing.
Wajah si ibu sudah berubah, si ayah terus bertanya, “Keluarga awak ada yang lahir sumbing ke? Keluarga saya rasanya tiada.”
Suami bertanya, tanpa mimik muka.
Suasana sedih menyelubungi ruang kecil di sebalik tirai biru ini. Aku melangkah keluar dari situ bagi memberikan ruang bagi mereka menghadam sedikit sebanyak penerangan yang diberikan tadi.
Masih terbayang bagaimana wajah si ibu bertukar suram.
Apa yang aku tidak dapat telah, perasaannya ketika itu. Di saat baru terbit rasa gembira merasai pergerakan zuriat di dalam rahimnya, kukira perasaannya agak rapuh.
Dia menangis, terbayang apa salahnya hingga anaknya sumbing, meminta maaf bertalu-talu kepada suaminya. Teringat dia ada sejarah lahir sumbing dalam keluarga.
Aku masih di situ.
Menyaksikan peristiwa menyayat hati seorang isteri libang-libung rasanya diheret perasaan bersalah.
Tidak banyak yang kupinta, hargailah isteri dan anak yang bakal dilahirkan. Di saat isteri paling memerlukan sokongan dan rasa disayangi. Anak yang dikandung anak berdua, yang dinantikan sekian lama.
Apa yang berlaku ada hikmah dan suratan.
Nota : Kisah-kisah benar diolah dan diselit mesej yang sahih.
Follow | Like | Comment | Share untuk perkongsian dan cerita yang memberiTAHU dan memberi ILMU untuk kesihatan semua.
Media sosial :
FB : facebook.com/aimirahayuAR
Twitter : twitter.com/aimirahayuAR
Youtube : youtube.com/aimirahayuabdulrashid
Instagram : instagram.com/aimirahayuAR
FB Page : facebook.com/doktorbidan
Telegram : t.me/doktorbidan