GBS – Group B Strep – Knowing is half the battle
“Ada gatal-gatal, bau busuk, makin banyak ke?”
“Ada doktor, baru beberapa hari ni. Saya pun pernah ada sejarah kehamilan terdahulu mempunyai GBS (Group B streptococcus). Alhamdulilah bayi sihat. Saya risau juga kali ni doktor, doa-doa tiada apa-apa.”
“Tidak mengapa, saya buat pemeriksaan dan ambil ‘swab’ dahulu ya.”
—
Kita tidak perlu takut tentang sesuatu, ambil tahu mengenainya untuk bersedia menghadapi sebarang kemungkinan atau komplikasi. Begitu juga dengan GBS.
Apa itu GBS?
‘Lancefield group B beta-haemolytic streptococcus’ atau nama ‘glamour’nya Group B strep sebenarnya adalah bakteria koloni yang terdapat di dalam flora usus pada 20-40% dewasa. Mereka adalah pembawa atau ‘carrier’ termasuklah wanita yang hamil.
Bayangkan yang bakteria ini sedia ada pada anda dan ia duduk diam-diam, baik di situ pada 2 hingga 4 daripada 10 orang secara puratanya.
Ia bukan jangkitan akibat hubungan seksual dan kebanyakan pembawa tiada menunjukkan sebarang tanda atau simptom pun.
Jika pun anda seorang pembawa GBS, di kebanyakan masa bayi anda akan dilahirkan selamat dan sihat, tidak mendapat jangkitan kuman.
Namun risiko rendah masih ada untuk mendapat jangkitan sepsis, jangkitan paru-paru (pneumonia) atau jangkitan selaput darah otak (meningitis).
Macam mana nak tahu samada ada GBS ke tidak?
Kita tidak buat rutin pengambilan swab untuk tujuan ini.
Kebiasaannya mereka yang akan mendapat ujian swab ialah mereka yang mempunyai simptom atau mempunyai sejarah kehamilan dengan GBS atau bayi terdahulu mendapat jangkitan atau komplikasi akibat GBS.
Ujian yang membolehkan ianya diketahui ialah ujian swab vagina, rektum dan ujian air kencing (jika disyaki ada jangkitan air kencing).
Jadi, apa yang perlu saya tahu lagi mengenai GBS?
Ramai bayi yang lahir tanpa ada masalah atau komplikasi. Hanya sebilangan kecil sahaja yang berjangkit, samada jangkitan sepsis di dalam darah, paru-paru (pneumonia) dan selaput otak (meningitis).
Tetapi jangan takut, bagi mereka yang mendapat diagnosa GBS ini, ada rawatannya.
Bagaimana risiko terhadap bayi dapat dikurangkan jika positif ujian GBS?
Jika ada jangkitan air kencing disebabkan oleh GBS ini, doktor akan memberikan antibiotik untuk dimakan terus dan akan diberikan anbtibiotik semasa dalam proses bersalin.
Jika keputusan swab vagina atau rektum atau ujian air kencing positif untuk GBS, doktor akan memberikan antibiotik semasa dalam proses kelahiran (labour).
Jika ada sejarah bayi yang dijangkit GBS semasa kelahiran, begitu juga.
Jika kantung air ketuban pecah selepas 37 minggu dan anda diketahui pembawa GBS, ‘induction of labour’ atau proses memulakan proses bersalin menggunakan ubatan perlu terus dimulakan. Ini bagi mengurangkan durasi masa bayi anda terdedah dengan GBS. Antibiotik juga perlu diberikan semasa proses kelahiran.
Jika ada tanda jangkitan kuman semasa proses kelahiran sedang berlaku, walaupun anda tidak diketahui pembawa GBS atau tidak pernah membuat ujian swab sebelum ini, anda juga perlu diberikan antibiotik semasa proses kelahiran yang boleh melindungi daripada pelbagai jenis jangkitan kuman termasuk GBS.
Jika proses kelahiran berlaku sebelum minggu ke-37, doktor boleh mengesyorkan kepada anda untuk mendapat antibiotik semasa proses kelahiran.
Antibiotik ini dimulakan selepas proses kelahiran bermula atau ketika air ketuban sudah bocor.
Diberikan setiap empat jam sehingga bayi dilahirkan.
Kenapa bukan semua wanita hamil perlu diperiksa untuk GBS?
Peratusan yang membawa GBS secara koloni adalah tinggi dan majoriti kes bayi yang dilahirkan tidak mendapat jangkitan selepas dilahirkan, tiada komplikasi.
Jika dibuat ‘screening’ untuk semua wanita hamil di hujung kehamilan, tidak dapat dipastikan dengan tepat bayi yang mana akan mendapat jangkitan GBS.
Tiada ‘screening test’ yang paling tepat 100% ; swab negatif tidak menjamin 100% anda tidak ada GBS.
Ramai bayi yang mendapat jangkitan GBS yang teruk dilahirkan pramatang sebelum masa yang disyorkan untuk membuat swab GBS tersebut (minggu 35-37).
Memberikan antibiotik kepada semua wanita yang membawa (carrier) GBS bermakna ramai wanita hamil akan mendapat rawatan antibiotik yang bersifat tidak perlu dalam konteks klinikal dan berpotensi mendapat rintangan terhadap rawatan antibiotik di masa akan datang (anntibiotic resistance).
Jadi jalan terbaik ialah jika anda termasuk dalam golongan berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan GBS atau ada simptom lendir vagina yang banyak ketika hamil, boleh dapatkan ujian swab GBS untuk mengetahui status jangkitan jika ada.
Dapatkan konsultasi daripada doktor tentang perkara ini.
‘Knowing is half the battle,’
Rujukan :
1. RCOG Green Top Guideline : Prevention of Early-onset Neonatal Group Streptococcal Disease : Green-top Guideline No. 36. RCOG September 2017.
2. Patient Information Leaflet : Group B Streptococcus (GBS) in pregnancy and newborn babies RCOG December 2017.
Dapatkan kumpulan perkongsian cerita menarik berkaitan bidang kesihatan wanita di
aimirahayu.com.
Nota : Kisah-kisah benar diolah dan diselit mesej yang sahih.
Follow | Like | Comment | Share untuk perkongsian dan cerita yang memberiTAHU dan memberi ILMU untuk kesihatan semua.
Media sosial :
FB : facebook.com/aimirahayuAR
Twitter : twitter.com/aimirahayuAR
Youtube : youtube.com/aimirahayuabdulrashid
Instagram : instagram.com/aimirahayuAR
FB Page : facebook.com/doktorbidan
Telegram : t.me/doktorbidan