skip to Main Content
Fardhu Kifayah Ini Milik Siapa?

Fardhu kifayah ini milik siapa?

Ini realiti. Hanya yang memahami dan bekerja dalam bidang yang berkaitan berhadapan dengan isu sebegini. Yang merana siapa?

“Doktor, boleh tolong tengokkan ‘patient’ ni tak selepas ini? Dia dah nangis dah di bilik Dr Amin tadi, teresak-esak saya tengok. Kasihan pula. Ada isu hari tu sebab suami dia marah-marah ‘last appointment’.

Buku temujanji diletakkan di atas meja klinik.

“Takpelah, bawa dia masuk bilik saya selepas saya habis tulis nota pesakit yang baru keluar ni.”

Isu doktor lelaki, doktor perempuan bekerja dalam bidang kehamilan dan kesihatan wanita ini bukan cerita baru. Sudah ramai doktor yang bekerja dalam bidang ini seperti Dr (Prof) Imelda Balchin, Prof Harlina Halizah Siraj bercakap tentangnya. Buku Pink 2.0 pun ada cerita. Cuba tengok gambar iringan petikan buku tersebut.

Saya tak mahu ulas panjang mengenai isu ini, nak baca Buku Pink 2.0, boleh cari.

Hari ini saya ingin bercerita mengenai satu kisah di klinik kesuburan yang berkaitan emosi dan kehendak. Keinginan dan keadaan.

Hari ini dia datang seorang diri. Izinkan aku memanggilnya Siti.

Ya, ke klinik kesuburan tanpa ditemani sesiapa. Temujanji kedua setelah ditunda sekian lama. Temujanji yang pertama telah setahun berlalu. Ada tragedi yang berlaku ketika itu.

Nak tahu apa cerita?

Siti hadir ke klinik kesuburan atas rujukan doktor. Sudah 4 tahun berkahwin namun berita baik atas kehamilannya masih belum diterima. Saban tahun menunggu semakin sukar apatah lagi sudah ramai sahabatnya yang baru berkahwin sudah berbadan dua.

‘Throwback’ setahun yang lalu.

Di klinik kesuburan ini, ada doktor lelaki dan wanita. Giliran pesakit dipanggil mengikut urutan dan kami para doktor memanggil mereka menerusi mesin nombor. Ala yang sebut 0-1-3, bilik 1.

Ha, berapa ramai yang terngiangkan suara mesin tu?

Nak dijadikan cerita, suami Siti ada namun ketika nombor dipanggil, dia keluar sebentar menjawab panggilan. Tiba giliran wanita tersebut, dia masuk seorang diri.

Konsultasi pertama terus berlangsung dengan baik. Siti berasa lega kerana akhirnya seperti sudah nampak sinar untuk dia dan suaminya mencuba untuk hamil.

Namun Dr Reza, doktor lelaki yang mengambil semua nota pesakit dan memeriksanya (dengan kehadiran ‘chaperone’) meminta Siti memanggil suaminya di luar kerana ada soalan berkaitan pasangan yang ingin diutarakan.

Tanpa lengah, dia keluar dari klinik untuk mencari suaminya.

‘Double door’ klinik ditolak dan dilihatnya suami ada di situ, baru sahaja menamatkan panggilan.

Apa yang kami lihat dan dengar selepas itu?

Siti kembali ke dalam klinik dengan muka yang suram. Dan dia meminta izin untuk menyelesaikan temujanji hari ini dan bergegas keluar.

Ya, aku saksi melihat bagaimana perubahan wajah Siti daripada ceria seketika tadi berubah suram. Apa yang berlaku?

Dek kerana sibuk kerana ingin menyudahkan klinik yang ramai pesakit hari itu, aku berlalu kembali ke kerusi klinikku bagi melihat pesakit seterusnya. Hari klinik hari ini masih panjang.

Setahun berlalu. Masa kian laju meninggalkan kita. Aku masih teringat peristiwa itu. Dan hari ini…

“Doktor, boleh tolong tengokkan ‘patient’ ni tak selepas ini? Dia dah nangis dah di bilik Dr Amin tadi, teresak-esak saya tengok. Kasihan pula. Ada isu hari tu sebab suami dia marah-marah ‘last appointment’.

Buku temujanji diletakkan di atas meja klinik. Aku mengamati nama dan melihat nota pesakit ini.

“Apa yang terjadi masa ‘last appointment?”

“Doktor ingat tak ada sorang ni masuk ke klinik, bila Dr Reza masa tu suruh dia cari suami dia di luar, dia masuk balik muka macam baru lepas menangis, dan terus tak nak teruskan checkup masa tu. Rasa doktor pun ada masa tu.”

Aku cuba menyelak kembali ruang memori setahun yang lalu.

“Takpelah, bawa dia masuk bilik saya selepas saya habis tulis nota pesakit yang baru keluar ni.”

Siti masuk beberapa ketika kemudian, seorang diri.

Sebaik terpandang wajahnya, ‘de ja vu’ aku melihat wajahnya yang masih suram. Sama.

Ya, dia baru lepas menangis tadi.

Sudah setahun berlalu, tertanya aku apa yang membuatkan dia tidak kembali datang untuk temujanji di klinik ini.

Untuk pasangan yang mengalami masalah kesuburan, masa adalah satu entiti berharga kerana kadar kesuburan menurun dengan masa. Siti pula sudah 30-an.

Aku fokus melakukan konsultasi untuk Siti namun ketahuilah tanpa kehadiran pasangannya, konsultasi kesuburan tidak sempurna. Masalah kesuburan perlu dilihat daripada sudut lelaki dan perempuan. Tidak hadir ke klinik sama sekali tidak membantu usaha kami untuk membantu anda untuk hamil.

Di akhir temujanji itu, aku ingin merungkai persoalan di mindaku. Siti tidak terus menjawab pertanyaanku. Dia tertunduk lama dan kembali menangis.

Haila, tisu segera aku hulurkan.

Masa berlalu dalam suasana klinik yang sibuk namun aku tahu itu yang Siti perlukan.

“Saya tahu doktor kat sini, doktor semua professional. Doktor lelaki dan perempuan sama sahaja bagi saya. Saya ok je mana-mana tapi suami saya berkeras nak doktor perempuan yang merawat saya. Dia tak nak datang ke klinik pun sebab ni. Saya tak tahu nak buat macam mana.”

Aku merenung Siti. Dia terperangkap dalam situasi sebegini.

Antara keinginan suaminya dan keinginan dirinya yang mahu isu kesuburan mereka diperiksa dan jika ada rezeki, menimang cahayamata.

Bukan mudah bagi kami juga.

Namun aku cuba menenangkan dia dan harapnya mereka suami isteri dapat berbincang kembali untuk meneruskan temujanji selepas ini.

Cuma satu nak tanya, kalau masalah lelaki yang menjadi punca ketidaksuburan dan kami perlu memeriksa bahagian sulit lelaki yang melibatkan struktur alat sulit, ha korang nak siapa yang periksa? Tentu doktor lelaki bukan?

See. Ada keperluan doktor lelaki di situ.

Bukan mudah bagi kami juga dalam bidang ini.

Di saat ada suami yang cakap isteri patut/kena duduk rumah, tidak perlu bekerja.

Tapi pada masa yang sama, suami itu juga bila isteri dia pergi hospital nak beranak, ‘demand’ nak doktor perempuan, ‘nurse’ perempuan, yang uruskan isteri dia nak bersalin, bagaimana?

Tadi perempuan patut/kena duduk rumah, jadi kenapa yang perempuan kat hospital ni kena ada untuk isteri dia pula?

Kalau semua perempuan tak perlu bekerja, kena terimalah doktor lelaki, ‘nurse’ lelaki yang uruskan isteri bersalin dan jumpa isterinya di klinik.

Ke ni ‘apply’ untuk isteri dia je? Isteri orang lain kena berkhidmat demi keluarga dia dan keluarga seumpama dengannya.

Mana satu yang kamu mahu?

Ini realiti. Hanya yang memahami dan bekerja dalam bidang yang berkaitan berhadapan isu sebegini.

Yang merana siapa? Siti.

Fardhu kifayah ini pula tugas siapa?

#AimiGYN
#MedTweetMY

Dapatkan kumpulan perkongsian cerita menarik berkaitan bidang kesihatan wanita di aimirahayu.com.

Nota : Kisah-kisah benar diolah dan diselit mesej yang sahih.

Follow | Like | Comment | Share untuk perkongsian dan cerita yang memberiTAHU dan memberi ILMU untuk kesihatan semua. 

Media sosial :
FB : facebook.com/aimirahayuAR
Twitter : twitter.com/aimirahayuAR
Youtube : youtube.com/aimirahayuabdulrashid
Instagram : instagram.com/aimirahayuAR
FB Page : facebook.com/doktorbidan
Telegram : t.me/doktorbidan

This Post Has 0 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back To Top
×Close search
Search