skip to Main Content
Anencephaly

Anencephaly

“Kami sudah buat imbasan 4D doktor, nampak muka baby dah gembira dah kami. Ada pakej imbasan 2D, 4D dan 2D+4D, kami ambil 4D sahaja sebab bajet kami pun cukup untuk satu imbasan sahaja,” pesakitku menunduk dan menangis.

” Bila doktor maksudkan ‘detail scan’, maksudnya imbasan 2D, bukan 4D. Kalau puan ada bajet untuk satu imbasan sahaja, pilihlah imbasan 2D.”

Salah faham yang sering berlaku.

Risiko kecacatan bayi boleh berlaku kepada semua kehamilan, namun kehamilan berisiko tinggi ialah kehamilan penghidap diabetis atau kencing manis, pernah mengalami kandungan bayi yang mempunyai kecacatan seperti tulang belakang berlubang (spina bifida) dan tempurung kepala tidak terbentuk (anencephaly), pesakit yang mengambil ubatan anti-epilepsi, kurangnya simpanan/tidak makan asid folik.

Oleh sebab itu, setiap wanita yang ingin hamil perlu memakan asid folik 3 bulan sebelum dan selepas hamil. Ini adalah satu cara pencegahan masalah kecacatan bayi yang disebutkan tadi.

Mudah dan murah. Hanya makan sebiji sehari, 5 mg 12 minggu sebelum daripada waktu kehamilan dan 12 minggu selepasnya.

Tidak perlu beli asid folik berjenama, cukup sebutir kecil tablet asid folik yang dijual di farmasi dengan harga yang murah.

“Saya nak makan kurma sahaja boleh ke doktor bagi menggantikan asid folik ni?”

Jawapan standard bagi soalan di atas ialah tidak semua orang mampu makan makanan yang dikatakan mempunyai kandungan asid folik yang tinggi, jadi daripada pihak perubatan, kami menyarankan satu cara yang sama dan dos juga sama bagi memastikan cukup 5 mg yang dimakan setiap hari. Mudah bukan?

“Saya tak makan asid folik pun, anak-anak
lahir semua sihat belaka.”

Jangan begitu sistur.😅.

Walaupun ada yang tidak makan asid folik dan kandungan lahir tiada bermasalah, namun kalau terjadi kepada kandungan wanita terbabit masalah spina bifida atau anencephaly contohnya, tidak boleh di’reverse’ balik atau nak makan seguni asid folik pada waktu tersebut pun sudah tidak berguna lagi.

Ingat, ‘prevention is better than cure’.

Seringku beritahu kepada pesakit yang TTC (trying to conceive) untuk ambil asid folik kerana ianya langkah pencegahan masalah kesihatan bayi yang mudah dan murah. Tidak mahu kandungan yang ditunggu-tunggu bermasalah.

‘Your pregnancy is precious right?’

Salmi, seorang wanita yang TTC sekian lama. Kali ini, rezekinya dikurniakan Ilahi untuk hamil di saat telah 10 tahun dia dan suami menunggu.

Doa di Haramain dipermudahkan.

Teruja sungguh ingin mengabadikan kenangan kehamilan kali ini.

‘Baby shower’.

‘Baby room’.

Dan segala perhiasan di dalamnya sudah mula disediakan seawal kandungan 10 minggu lagi.

Seluruh keluarga kedua-dua belah sudah mengetahui berita gembira ini. Mereka masing-masing memberikan nasihat kepada Salmi agar menjaga diri dan bayi di dalam kandungan.

Buku ‘pink’ dibuka, ia dibalut kemas dengan plastik buku agar kulitnya tidak kotor. Ibarat menjaga harta berharga kerna buku ini ibarat nyawa kehamilannya. Semua catatan doktor ada di situ.

Peneman setia di dalam beg tangan, dibawa ke mana saja. Begitulah.

Memori kehamilan ini juga diabadikan dengan imbasan 4D di klinik. Bahagia sekali pabila melihat wajah anaknya yang mendakap diri, selesa sungguh nampaknya ia membesar di dalam rahim Salmi.

Baginya, cukup sempurna anak itu, lahirnya nanti akan ditatang dengan penuh kasih sayang.

Minggu yang sama, tiba giliran temujanji Salmi di klinik kesihatan. Pemeriksaan awal mendapati bayinya bersaiz kecil daripada sepatutnya, imbasan sona bunyi dibuat.

Sampailah Puan Salmi ke sini kerana dirujuk. Masalah ‘anencephaly’.

“Kami sudah buat imbasan 4D doktor, nampak muka baby dah gembira dah kami. Ada pakej imbasan 2D, 4D dan 2D+4D, kami ambil 4D sahaja sebab bajet kami pun cukup untuk satu imbasan sahaja,” pesakitku menunduk dan menangis.

Imbasan sona bunyi ‘detail scan’ yang dilakukan sebentar tadi mengesahkan diagnosis bayi Puan Salmi. Kesnya dirujuk ke sini bagi tindakan selanjutnya.

” Bila doktor maksudkan ‘detail scan’, maksudnya imbasan 2D, bukan 4D. Kalau puan ada bajet untuk satu imbasan sahaja, pilihlah imbasan 2D.”

Sempatku menyelit memperbetulkan salah faham ini. Sangat ramai yang tidak memahami kepentingan imbasan 2D sebagai ‘detail scan’ berbanding 3D/4D/5D. Yang penting bagi mereka ialah muka bayi nampak cukup sifat dan gambar itu dapat disimpan menjadi kenangan.

Ada yang sanggup membayar harga imbasan 4D yang lebih mahal.

“Baiklah Puan, saya tahu banyak maklumat yang perlu dihadam pada satu pertemuan ini. Saya beri masa Puan dan suami untuk balik berbincang dulu. Kami akan beri temujanji lagi akan datang untuk berbincang pasal ni.”

“Saya pasti akan ada banyak persoalan yang akan timbul selepas Puan duduk bertenang di rumah ya.”

Tisu dihulurkan dan kulihat merah warna mukanya diseliputi air mata. Suami di sebelah juga sugul. Tiada kata-kata.

Hidup ini ada persimpangan. Mereka perlu memilih antara dua. Tiada yang betul atau salah. Hanya masa bakal menentukan.

#AimiGYN
#MedTweetMY

Nota : Kisah-kisah benar diolah dan diselit mesej yang sahih.

Follow | Like | Comment | Share untuk perkongsian dan cerita yang memberiTAHU dan memberi ILMU untuk kesihatan semua. 

Media sosial :
FB : facebook.com/aimirahayuAR
Twitter : twitter.com/aimirahayuAR
Youtube : youtube.com/aimirahayuabdulrashid
Instagram : instagram.com/aimirahayuAR
FB Page : facebook.com/doktorbidan
Telegram : t.me/doktorbidan

This Post Has 0 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back To Top
×Close search
Search