Anaemia / Kurang Darah Merah Semasa Hamil
“Eh, kenapa darah merah kurang ni, awak makan betul ke tidak? Cuba cakap.”
Dia tersengih. Maknanya apa tu?
“Saya tak bolehlah Dr, semua makan terlarang tu makan ‘favourite’ saya tu, saya dah cuba Dr, bukan tak cuba.”
Alamat lamalah masa konsultasi hari ni nak duduk bercerita tentang masalah kurang darah merah ni. Dia pun dah nak masuk trimester ketiga dah ni, masa genting!
…
Kenapa Dr pentingkan sangat masalah kurang darah merah atau anaemia ni?
Menurut WHO, dianggarkan 41.8% wanita hamil di seluruh dunia menghadapi masalah anaemia. Dan setengah daripadanya disebabkan kurangnya zat besi.
Jadinya sebab tulah Dr selalu tekankan anaemia, cara makan supplemen zat besi yang betul sebab ia memberi kesan kepada kehamilan.
Macam mana boleh berlakunya masalah anaemia ini?
Ok, menarik ni, ada banyak sebab.
Sejarah anaemia terdahulu, bilangan kandungan yang meningkat, jarak kehamilan seterusnya kurang daripada setahun, diet vegetarian, kehamilan remaja, pendarahan atau sedia ada masalah kesihatan melibatkan buah pinggang, darah, sumsum tulang dan sebagainya.
Sebab itu Dr tekankan agar merancang kehamilan dengan penjarakan kelahiran sekurang-kurangnya 18 bulan ke atas. Kerana si ibu perlu pulihkan simpanan zat besi dan yang lainnya dalam badan, bersedia untuk menempuh kehamilan seterusnya.
Masalah kekurangan zat besi berlaku 7% semasa trimester pertama, 14% trimester kedua dan 3-% trimester ketiga.
Tahap darah merah sepatutnya adalah 11g/dL semasa trimester pertama dan ketiga, dan 10.5 g/dL semasa trimester kedua. Jika kurang, dakwat merahlah dalam buku pink tu.
Apa kesan kehamilan yang boleh berlaku akibat anaemia?
Kita boleh tengok daripada dua aspek. Kesan kepada ibu, kehamilan dan kesan kepada bayi.
Kesan kepada ibu/kehamilan
1/ peningkatan kelahiran secara pembedahan
2/ ibu perlu menjalani pemindahan darah
3/ pre-eklampsia
4/ uri lekang
5/ masalah tiroid
6/ luka lambat sembuh
7/ masalah kegagalan/lemah jantung –> kematian
Kesan kepada bayi
1/ berat lahir bayi rendah
2/ masalah pembentukan/pertumbuhan/perkembangan otak –> mempengaruhi kognitif, moot, sosial-emosi dan neuro-psikologi.
3/ dua kali ganda peningkatan kelahiran pra-matang
4/ bayi kecil berbanding usia kandungan (small for gestational age)
Apa langkah yang perlu diambil oleh wanita hamil bagi mengatasi masalah anaemia akibat kurangnya zat besi?
1/ makan supplemen zat besi yang disyorkan Dr, KK.
2/ penerangan dan pendidikan kesihatan dan diet yang sesuai untuk masalah anaemia.
“Tapi Dr, cuba Dr beritahu makanan apa yang saya tak boleh makan?”
“Makanan yang kurangkan penyerapan. Macam kopi, teh, bahan mengandungi kafein. Masa nak ambil supplemen zat besi tu, disyorkan perut kosong dan minum dengan vitamin C atau air oren. Buatlah yang segar, perah sendiri!”
Aku berlelucon pula. Takut dia bosan aku bercakap panjang-panjang ini.
‘Eh, ke kena hisap dek Drakula’, ini monolog dalaman sahaja ketika itu. Terbayang pulak cerita novel Bram Stoker malam-malam ni. Seram!
“Makanan yang ada zat besi ada banyak, daging, ikan, makanan bijirin, sayuran. Cuma kena tengoklah jika ada masalah sembelit, sebab ini biasa terjadi.”
“Ha, itulah Dr, saya ada sembelit sejak makan zat besi ni, tahi berbau juga dan berwarna hitam, benda yang biasa kan Dr?”
“Betul, biasalah itu, menunjukkan awak makan, tapi kalau tidak dijaga dengan diet penyokong dan makan pula makanan yang mengurangan penyerapan zat besi di usus, jadinya ‘counter-productive’ pula. Ada orang lain rasa nak muntah, kembung perut. Jika tidak sesuai satu-satu supplemen, jumpa Dr dan bertanya untuk menukar jenis supplemen yang lain, boleh dicuba untuk tengok kesesuaian. Yang penting makan.”
“Masalah awak sekarang sebab minum kopi yang banyak. Ia sama sekali tidak membantu masalah anaemia yang sedang awak alami, dan juga kita sebenarnya tidak menggalakkan minum kopi dengan kadar yang banyak semasa kehamilan. Kena bersederhanalah.”
Dia sambung tersengih. Tapi zaman-zaman COVID-19 ni pakai pelitup muka, yang aku nampak matanya yang mengecil sebab sengih sahajalah, haha!
“Dua minggu lagi kita akan ambil darah dan lihat tahap darah merah ketika itu. Harap-harapnya ada perubahan dan meningkat. Cuba buat apa yang saya beritahu tadi. Moga-moga dipermudahkan.”
Aku catatkan nota terakhir pada sistem komputer.
Dan dia berlalu pergi.
Jumpa dua minggu lagi ya!
Dapatkan kumpulan perkongsian cerita menarik berkaitan bidang kesihatan wanita di aimirahayu.com.
Nota : Kisah-kisah benar diolah dan diselit mesej yang sahih.
Follow | Like | Comment | Share untuk perkongsian dan cerita yang memberiTAHU dan memberi ILMU untuk kesihatan semua.
Media sosial :
FB : facebook.com/aimirahayuAR
Twitter : twitter.com/aimirahayuAR
Youtube : youtube.com/aimirahayuabdulrashid
Instagram : instagram.com/aimirahayuAR
FB Page : facebook.com/doktorbidan
Telegram : t.me/doktorbidan