skip to Main Content
Check-In Wad Bersalin Setahun Sekali

Check-In Wad Bersalin Setahun Sekali

“Doktor, pesakit di dalam bilik 2 itu bersalin dengan doktor tahun lepas, dia kata dia malulah jumpa doktor lagi tahun ni,” jururawat memberitahuku.

“Apa nama pesakit tu?”

“Siti Natasya, doktor.”

Haha! Patutlah tengok muka macam kenal sahaja. Rupa-rupanya…

“Tidak mengapalah, asalkan semuanya selamat, itu yang paling penting.”

Korang nak tahu tak kenapa doktor sering cadangkan jarakkan kehamilan sehingga 2 tahun?

Tidaklah doktor dengki korang anak ramai (hehe!), tetapi ketahuilah ini semua untuk kebaikan ibu, anak khasnya dan keluarga secara amnya.

Seringkali aku mulakan konsultasi samada di katil ibu semasa ‘ward round’ di wad ataupun di klinik ‘postnatal’ dengan ayat di atas.

Bukan sahaja-sahaja kita nak beritahu benda macam ni dan bukan sebab kita nak kurangkan kerja kat bilik bersalin ye!

Haha!

Tapi hujung tahun ni ‘confirm’ kadar kelahiran mencanak naik. Korang pun tahu sebab apa.

Ok.

Apa kebaikan kepada si ibu?

Di sepanjang tempoh mengandung, fisiologi badan ibu berubah bagi membolehkan kandungan berjaya dibawa sehingga saat melahirkan.

Hormon hamil naik tinggi, jantung ibu mengepam darah dengan lebih lagi bagi membekalkan sumber makanan dan oksigen kepada bayi melalui uri, sistem pernafasan ibu mengalami perubahan juga serta banyak lagi.

Dan semua ini mengambil masa untuk kembali ke tahap seperti sebelum hamil.

Apa yang kebiasaan kita dengar masalah ibu hamil ni?

Ya, darah merah rendah, kena ambil supplemen tapi sama sahaja tidak jalan. Mana taknya, makan mengelat, lupalah, tidak boleh tinggal kopi dan tehlah walaupun sudah diingatkan oleh doktor dan ada yang memang rendah sejak azali.

Sepanjang kehamilan, kita cuba naikkan ke paras yang baik agar cukup ‘reserve’ masa nak bersalin nanti. Yang ini pun ambil masa juga.

Jangan buat-buat lupa, ramai juga yang ada masalah kesihatan kencing manis semasa hamil. Makan manis-manis, berat badan semasa hamil naik mencanak, kenalah turunkan balik kan.

Kencing manis ni jaga-jaga, kena jaga baik-baik pemakanan selepas melahirkan, dia boleh berulang balik risiko kejadiannya.

Ini semua perlu dikawal dan kesihatan dipantau. Semua ini ambil masa. Takkan 3 bulan baru melahirkan terus hamil, tidak sempat pun nak ‘settle down’ masalah kesihatan ni terus sambung balik kehamilan seterusnya.

Sebab tu kita sarankan jarakkan kehamilan 2 tahun tu.

Bab emaknya dah bagitahu.

Ini bab anak pula.

Susu ibu adalah makanan terbaik buat bayi. Jika tiada halangan (ada orang ada masalah dengan penyusuan susu ibu – perlu rujuk kaunselor penyusuan ye!), pastikan anak anda mendapat susu ibu sepenuhnya 6 bulan pertama usia, dan selepas itu disambung ke usia 2 tahun dengan makanan pelengkap tambahan.

Bagi yang baru kelahiran anak pertama (atau seterusnya), perlukan masa untuk adaptasi dengan jadual tidur anak, kena ‘oncall’ malam-malam (ha, baru tahu macam mana rasa kena ‘oncall’ hehe), mengepam dan sebagainya.

Anak ini lahirnya terus berubah jadual hidup mak ayah. Jadi berilah masa secukupnya untuk diri kita ‘adapt’ dengan suasana baru ini.

Masa 2 tahun inilah kena beri sepenuh kasih sayang, ‘bonding time’ orang kampung teman cakap. Jadi kalau dah nak beradik lepas tu, kuranglah sedikit rasa ‘jealous’ dia iya dak!

Untuk keluarga juga macam mana?

Lahirnya anak maka bertambahlah rezeki orang kata.

Namun tidak dinafikan perbelanjaan untuk membesarkan anak itu juga bertambah. Kenalah bersedia untuk menjaga anak dengan sebaiknya, makan pakai, persekolahan dan kos pengasuh bagi yang bekerja. Semuanya ongkos buk!

Sedikit sebanyak cuba aku yakinkan si ibu untuk merancang keluarga dengan sebaiknya, jarakkan kehamilan demi kesihatan ibu, anak dan keluarga.

Tapi kalau dah mengandung tu, teruskan sahaja, risiko kita hadapi bersama.

See! Doktor sanggup bersama membantu mengawal risiko ibu hamil ok, bukan orang lain, maka dengarlah cakap doktor. Ha!

Aku masuk menjenguk bilik bersalin no 2.

“Apa nama Puan?”

“Siti Natasya, doktor.”

Seperti selalunya, aku akan menyapa pesakit di bilik bersalin itu dan menerangkan situasi pelan bersalin untuknya. Bayi juga tidak menunjukkan apa-apa tanda ‘distress’ di mesin pengesan detak jantungnya setakat ini.

“Baik Puan, buat masa ini bukaan pangkal rahim baru 6 cm, insyaAllah kita akan buat pemeriksaan lagi selepas 4 jam, jika ada rasa mahu bersalin, bagitahu terus kepada jururawat Saniah ya, saya akan berada di kaunter luar.”

Entah mengapa seimbas aku melihat wajahnya, seakan pernah berjumpa. Aku senyum dan terus keluar.

“Doktor, pesakit di dalam bilik 2 itu beranak dengan doktor tahun lepas, dia kata dia malulah jumpa doktor lagi tahun ni,” jururawat memberitahuku.

Haha! Patutlah tengok muka macam kenal sahaja. Rupa-rupanya…

“Tidak mengapalah, asalkan semuanya selamat, itu yang paling penting.”

Pengakhirannya, bayi selamat dilahirkan, Alhamdulillah.

Tapi kali ini, aku kena bagi kaunselling ‘hardcore’ baik punyalah ye. Tahun lepas dah ‘fail’ kaunseling perancang keluarga yang aku beri!

Sebenarnya aku teringat pasal pesakit ini. Bukankah semasa bersalin tahun lepas, kesakitan membuatkan dia kata, “Cukuplah last yang ni!”

Alih-alih tahun ini bersalin lagi.

Benarlah, kesakitan semasa bersalin habis di situ sahajalah.

Selepas melihat wajah anak dan menciumn baunya, terus rindu nak hamil lagi. Ahaks!

Nota : Pesakit seringkali ingat siapa doktor atau jururawat yang merawatnya kerana mereka hanya satu tapi maaflah aku tak ingat nama pesakit, cuma wajah sering ‘dejavu’. Umur makin meningkat gamaknya.

#AimiGYN
#MedTweetMY

Dapatkan kumpulan perkongsian cerita menarik berkaitan bidang kesihatan wanita di aimirahayu.com.

Nota : Kisah-kisah benar diolah dan diselit mesej yang sahih.

Follow | Like | Comment | Share untuk perkongsian dan cerita yang memberiTAHU dan memberi ILMU untuk kesihatan semua. 

Media sosial :
FB : facebook.com/aimirahayuAR
Twitter : twitter.com/aimirahayuAR
Youtube : youtube.com/aimirahayuabdulrashid
Instagram : instagram.com/aimirahayuAR
FB Page : facebook.com/doktorbidan
Telegram : t.me/doktorbidan

This Post Has 0 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back To Top
×Close search
Search